Ketika menjelajah negara untuk menerangkan fitnah terhadapnya, Anwar Ibrahim telah berjaya menghasut bisikan penentangan terbesar dalam sejarah negara. Dengan ungkapan yang jimat dan tepat, Anwar berfalsafah "lawan tetap lawan."

"Tidak minggu ini, minggu depan; tidak bulan ini, bulan depan; tidak tahun ini, tahun depan; lawan tetap lawan; lawan sampai menang!" Begitu jerit Anwar - kemudian dipopularkan oleh pengikutnya dan penyokong reformasi.

Sebagai seorang yang jatuh-bangun atas pentas perlawanan, Anwar menduga pertembungan akan berpanjangan dan tidak mempunyai batas-batas masa yang jelas. Perlawanan harus berterusan untuk mencapai matlamat akhir.

Falsafah ini - walaupun singkat tempoh kempennya - memberikan kesan yang mendalam kepada penentang serta pengkritik regim Dr Mahathir Mohamad. Tetapi penentangan ini bukan digerakkan oleh Anwar atau akibat peristiwa pemecatan dan pemenjaraannya semata, malah sebahagian besarnya telah lama membara, termasuk ketika Anwar masih dalam Umno dan kerajaan.

Keruncingan politik semasa, dan kesempitan ruang untuk berbeza pandangan, menjadikan falsafah 'lawan tetap lawan' lebih relevan dan meresapi jiwa. Dan inilah falsafah yang dianut oleh aktivis dan penyokong Gerakan Reformasi.

Sejarah pembentukan gerakan ini yang longgar dan terbuka - tetapi sarat dengan saat-saat cemas dan genting - berjaya menebalkan jiwa enggan menyerah tunduk kepada pihak-pihak berwajib. Penderhakaan awam atau civil disobedience penyokong reformasi, walau tidak sehebat rintangan pasif Mahatma Ghandi, membentuk sejenis budaya politik baru ini.

Budaya keras kepala

Bagaimanapun, budaya ini tidaklah terlalu baru. Di kalangan penyokong PAS misalnya, atau parti-parti pembangkang lain, keengganan untuk sujud sepanjang masa kepada kuasa rasmi kelompok penindas itu sentiasa wujud. Cuma, dengan falsafah 'lawan tetap lawan,' budaya keras kepala itu merebak dengan pantas ke akar-akar umbi generasi muda.

Ditambah pula trend popular antikerajaan kini, di saat regim Dr Mahathir makin longlai dan dipertikaikan, maka falsafah itu bukan lagi dilihat kedegilan bodoh tetapi suatu tindakan keperwiraan orang ramai (an act of mass heroism).

Oleh itu, penyokong reformasi sebagai pembawa obor budaya ini sebenarnya lebih ghairah menghadiri perhimpunan tanpa permit daripada memohon keizinan (lagipun, sangat sukar diperolehi). Menghadiri ceramah tanpa permit, menulis tanpa permit, menampal pelekat kereta atau memakai simbol-simbol reformasi adalah protes terbuka terhadap regim berkuasa.

Bagi mereka, siri-siri tangkapan merupakan tangga-tangga mendaki keperwiraan. Memasuki penjara atau lokap sebahagian kepuasan. Menentang kezaliman, kata mereka, itu wajib - bergantung ideologi apa yang bermain di fikiran. Lagipun, berada di luar cukup merimaskan. Mendengar leteran sang menteri, apatah lagi kalau mereka menggubal dasar-dasar kronisme-tembolok-isme, akan lebih menyenakkan perut.

Maka, dengan kebencian dan kebosanan yang berpanjangan, ditambah rasa keadilan yang semakin terhakis, seseorang yang pengecut dan kurus kering tiba-tiba tegak berdiri menentang alat-alat kuasa kezaliman.

Inilah psikologi penyokong reformasi, dan falsafah 'lawan tetap lawan' suntikan Anwar itu memang membawa kesan berbahaya kepada Dr Mahathir.

Mahathir terkena pancingan

Kerana itu, mereka terus mengasak kuasa kesabaran pemerintah Dr Mahathir; terus memancingnya agar berbuat silap. Jika Dr Mahathir diam, mereka akan mengaum-ngaum di telinganya. Jika dia tertidur, dicabutnya bulu betisnya. Pendek kata, mereka akan terus mengganggu tidur gergasi tua ini.

Tangkapan adalah beberapa jenis alat pancing kumpulan reformasi. Setiap kali ditahan, nama mereka dan suara perjuangan mereka bergema hingga ke serata dunia. Carilah apa juga tindakan, asalkan boleh bertukar media event , hingga hingar-bingar kedengaran jerit-pekik terlolong mereka di pinggir-pinggir jalan.

Beberapa hari lalu, Dr Mahathir terkena lagi umpan pancingan penyokong reformasi. Ibarat ribuan nyamuk, beberapa ekor akan berjaya ditempeyekkan di telapak tangan tetapi mereka yang masih mengaum-ngaum akan terus terjun menyerang ala kamikaze .

Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sudah lama tidak digunakan akhirnya terpaksa digunakan. Tidak mudah bagi Dr Mahathir menjawab soal tangkapan pencegahan (preventive measures).

Penyokong reformasi merengkok tetapi Dr Mahathir tidak akan pulih. Malah, itulah sebenarnya mesej kezaliman yang cuba dihasut ke dalam minda rakyat negara ini dan masyarakat antarabangsa.

Mereka bermain api, dengan falsafah 'lawan tetap lawan.' Kali ini kita tidak tahu siapa yang akan terbakar. Tetapi mahligai Dr Mahathir akan terus bergelap, dia harus meraba-raba suis kuasanya semula!


FATHI ARIS OMAR bertugas sebagai editor berita malaysiakini