Penyokong reformasi pasif elak kejadian tidak diingini
Penyokong reformasi yang telah memutuskan untuk meneruskan acara penyerahan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pagi ini akan mengambil sikap pasif, tetapi bersemangat, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Malaysiakini difahamkan acara ini akan berjalan lancar dan berbeza daripada beberapa perhimpunan reformasi sebelum ini. Acara ini dipercayai akan berlangsung dengan cepat sebaik sahaja rombongan wakil-wakil pembangkang, badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan rakyat selesai menyerahkan memorandum tersebut.
Semalam, Parti Keadilan Nasional mengumumkan rombongan penyerahan itu akan disertai enam anggota Dewan Rakyat yang diketuai oleh presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Selain Azizah, pemimpin pembangkang yang bakal menyertainya termasuklah Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung parti itu Dr Sanusi Osman, anggota-anggota Dewan Rakyat Barisan Alternatif Datuk Kamarudin Jaafar, Dr Syed Azman Syed Ahmad (kedua-duanya PAS), Teresa Kok, Lim Hock Seng (kedua-duanya DAP) dan Abdul Rahman Yusof (Keadilan).
"Yang penting, kita hantar memorandum rakyat," kata satu sumber yang dekat dengan kumpulan itu.
Malaysiakini difahamkan memorandum 10 perkara yang akan diserahkan itu, bersama beberapa memorandum persendirian daripada wakil-wakil 19 kumpulan sokongan, telah siap.
20 Peguam pemerhati
Sepuluh perkara itu menyentuh isu-isu kebebasan berkumpul, institusi kehakiman, kebebasan media, menghapuskan akta-akta zalim, membanteras budaya kronisme, nepotisme serta rasuah.
Selain bahasa Melayu, 'memorandum rakyat 14 April' itu turut diterjemahkan kepada bahasa-bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.
Penyokong reformasi merancang berkumpul di perkarangan pejabat Suhakam di Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut menjelang ketibaan wakil-wakil kumpulan pada jam 10 pagi ini.
Antara pertubuhan itu termasuklah Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (Hakam), Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Bahagian Belia Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Tenaganita, Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Media Independen (Kami).
Semalam, Pusat Bantuan Guaman (PBG) Majlis Peguam Kuala Lumpur mengumumkan badan itu akan menghantar kira-kira 20 peguam sebagai pemerhati acara perhimpunan tersebut.
Dalam satu kenyataan kepada malaysiakini , Majlis Peguam itu berkata sukarelawannya akan memakai gegelang kain putih di lengan, dengan perkataan hitam 'P.B.G.' sebagai menandakan wakil rasmi organisasi tersebut.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.