Walau apa pun penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu projek nadir bumi di Gebeng, rakyat sudah tidak peduli kerana merasakan mereka lebih peka terhadap isu alam sekitar, kata Pemuda PAS.

riduan mohd nor Ketua penerangannya Riduan Mohd Nor ( kanan ) berkata, dakwaan ia selamat dari segi "fakta dan saintifik" tidak meyakinkan rakyat yang sendiri berisiko merasai sendiri akibatnya.

"Rakyat tidak melihat PM dan anggota kabinet merasai denyut nadi kehidupan rakyat di bawah kerana mereka dipisahkan oleh kehidupan pemimpin negara yang begitu eksklusif dan elit," katanya.

Ekoran itu, Riduan berkata, Umno dan BN tidak boleh lagi mendabik dada bahawa Pahang bukan lagi kubu selamat mereka kerana kini segalanya boleh berlaku sekiranya pemimpinnya silap percaturan.

"Pemuda PAS beranggapan, apa pun alasannya, kerajaan perlu segera menghentikan operasi Lynas demi kemaslahatan rakyat," katanya lagi.

NONE Jika tidak bersedialah menghadapi hukuman rakyat dalam PRU (pilihan raya umum) ke-13 nanti. Pahang mungkin akan menjadi paku terakhir buat keranda UMNO di negara ini."

Selepas perhimpunan besar melibatkan ribuan aktivis dan pembangkang di Kuantan semalam, Najib dilaporkan mendakwa setelah menyemak semula, fakta saintifik menunjukkan projek itu tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.

Dalam kenyataannya hari ini, Riduan berkata, perhimpunan besar mereka semalam memberi petunjuk bahawa rakyat bersatu tidak mengizinkan seinci pun bumi Pahang dicemari dengan aktiviti yang boleh merosakkan alam sekitar.