TI-M: Inisiatif baru takutkan penderma pembangkang
Inisiatif baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengawal selia dana politik akan menakutkan pihak yang ingin menderma atau menyumbang kepada pembangkang, kata Transparency International Malaysia (TI-M).
Justeru, kata presiden TI-M Paul Low, kerajaan perlu melengkapkan inisiatif baru dengan memperuntukkan dana kepada parti-parti politik, bagi memastikan persaingan yang setara bagi kedua-dua pihak.
"Perlu diiktiraf bahawa dalam persaingan sengit dunia politik kita, ada penderma yang mungkin tidak mahu nama mereka didedahkan.
"Inisiatif baru itu boleh menyebabkan orang ramai menjadi bimbang kerana kita masih belum cukup matang dari segi politik untuk menerima idea pembiayaan bagi kedua-dua pihak," kata Low kepada Malaysiakini semalam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan satu lagi inisiatif di bawah Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) bertujuan mengawal pembiayaan politik demi meningkatkan ketelusan dan keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik.
Katanya, inisiatif itu menekankan bahawa setiap sumbangan kepada mana-mana parti politik sama ada di peringkat pusat mahu pun negeri hendaklah disalurkan melalui akaun rasmi parti.
Walaupun Low, sebelum ini lantang supaya dana politik dikawal selia, namun ketika mengalu-alukan pengumuman kerajaan itu, katanya, perkara itu perlu didahului dengan pembiayaan oleh kerajaan kepada semua parti yang berdaftar.
"Lebih baik dana politik dibiayai oleh kerajaan berdasarkan formula tertentu. Ini bukan sesuatu yang sukar dilakukan. Ia telah dilakukan di kebanyakan negara seperti Korea Selatan. Banyak negara yang demokrasinya matang membiayai dana parti-parti politik melalui peruntukan kerajaan.
"Saya fikir sukar bagi memelihara integriti politik jika ia selalu dikaitkan dengan urusan perniagaan," katanya.

