Fuziah: Najib mungkin telah hina mahkamah
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, mungkin membuat komen sub-judice atau menghina mahkamah pada hujung minggu lalu, apabila memberi jaminan bahawa loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas di Gebeng, Pahang adalah selamat.
Katanya, oleh kerana 10 penduduk telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di mahkamah bagi mencabar keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) yang memberikan lesen operasi sementara (TOL) kepada syarikat itu, maka Najib yang mewakili kerajaan, tidak sepatutnya memberi sebarang ulasan tentang kes berkenaan.
"Ini adalah sub-judice kerana apa yang beliau kata boleh mempengaruhi mahkamah yang membicarakan kes itu. Ini boleh disifatkan sebagai campur tangan dari pihak eksekutif," katanya memberi amaran.
Justeru, Fuziah berkata kenyataan Najib akan diambil serius dan beliau akan berunding dengan peguamnya berhubung mereka tindakan seterusnya.
Pada Ahad lalu, selepas hampir 15,000 orang berhimpun di Kuantan sempena Himpunan Hijau 2.0, Najib ketika dimnta wartawan untuk mengulas, berkata kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat.
Pada 17 Februari lalu, sepuluh penduduk memfailkan permohonan semakan kehakiman mencabar keputusan AELB yang mengeluarkan pemberian lesen operasi sementara (TOL) pada 30 Jan bagi memulakan operasi mereka menapis sisa radiokatif dari Australia.
Hari ini, perkara itu buat kali pertama disebut Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Bagaimanpun Pejabat Peguam Negara yang mewakili Lynas membuat bantahan awal dan Hakim Datuk Rohana Yusof menetapkan 20 Mac untuk mendengar perkara berkenaan.
[Baca berita peuh]

