MCA dakwa Najib jujur bantu kebajikan orang Cina
MCA membidas DAP kerana cuba mencetuskan gangguan semasa majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sg Long oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong berkata sementara Perdana Menteri jujur untuk melakukan kebajikan kepada masyarakat Cina, masih terdapat sesetengah pihak yang enggan menerima langkah tersebut dan memilih untuk menimbulkan tindakan tidak wajar bagi menyekat acara tersebut daripada berjalan lancar.
"Tindakan oleh Ahli Majlis Perbandaran yang lama dan sekarang dari DAP itu telah menjejaskan imej pembangkang sebagai pakatan yang memerintah Selangor.
Perlu juga dijelaskan bahawa DAP tidak pernah menunaikan janji mereka berhubung pendidikan masyarakat Cina.
"Apabila tidak dapat menindakkan hakikat bahawa BN telah menunaikan janji mereka berhubung pendidikan masyarakat Cina, DAP menjadi tidak senang dan menganggap sumbangan BN sebagai ancaman. Ini merupakan salah satu sebab mereka cuba mengganggu majlis tersebut," katanya dalam satu kenyataan media.
Pada majlis itu Perdana Menteri mengumumkan peruntukan 2.9 hekar tanah bagi membina sebuah SJKC di Sungai Long.
Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata tindakan DAP tersebut hanya mahu mencari publisiti dengan memainkan isu.
Pada kejadian dua hari lalu, ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Lee Kee Hiong dan beberapa pemimpin DAP tempatan mendakwa mereka telah dikasari di luar SRJK (C) Bandar Sungai Long, Selangor, beberapa minit sebelum ketibaan Najib untuk majlis pecah tanah sekolah tersebut.
Lee berkata, beliau dengan rombongan kira-kira 20 ahli dan bekas ahli majlis perbandaran itu serta penduduk, datang dengan memakai baju hijau, tetapi mereka dihalang oleh 30 hingga 40 orang yang memakai baju-T BN dan 1Malaysia.

