mk-logo
Berita
Universiti Amerika pula beri anugerah pada Rosmah

Stevens Institute of Technology, universiti perdana pendidikan campuran swasta yang menumpukan pada penyelidikan dan keusahawanan dan komited dalam menerokai bidang kejuruteraan, sains dan pengurusan menganugerahkan anugerah tertinggi universiti itu kepada Datin Seri Rosmah Mansor, isteri perdana menteri Malaysia, pada Jumaat.

Presiden universiti itu, Dr Nariman Farvardin, menyampaikan anugerah "Distinguished Service Medal" kepada Rosmah sebagai mengiktiraf sumbangannya dalam perkhidmatan awam khususnya dalam usaha memperkasakan wanita dan kesaksamaan gender dan peranan penting dimainkan beliau dalam mengusahakan pendidikan awal di kalangan rakyat Malaysia.

Rosmah juga memainkan peranan aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan seperti  Children's Hope, Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Majlis Aids Malaysia, Yayasan Jantung, dan memainkan peranan penting dalam penubuhan Program Pendidikan Awal dan Penjagaan Kanak-kanak (ECEC), yang telah menubuhkan lebih 600 pusat asuhan kanak-kanak Permata di seluruh Malaysia, di samping sering mengutarakan mengenai perlunya memulihara warisan semulajadi negara untuk generasi akan datang, katanya pada majlis yang berlangsung di universiti itu di Hoboken, di New Jersey.

Dr Farvardin berkata universiti itu hanya menganugerahkan anugerah itu kepada mereka yang telah berjaya memberikan impak besar terhadap kebajikan masyarakat.

Rosmah, yang berada di universiti itu untuk menghadiri majlis beramah mesra dengan lebih 200 pelajar Malaysia, dalam ucapannya berkata anugerah itu amat bermakna kerana Stevens amat terkenal dengan kecemerlangannya dalam program-program penyelidikan pendidikan dan pengkomersilan.

Stevens diiktiraf sebagai sebuah daripada universiti Amerika yang amat berjaya dalam mengetengahkan teknologi di pasaran, katanya.

Rosmah berkata universiti itu kini menjalin kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk berkongsi kepakarannya dalam menjana kekayaan daripada inovasi penyelidikan menerusi keusahawanan.

"Banyak universiti di Malaysia telah mencontohi langkah Stevens dalam melancarkan syarikat permulaan sebagai satu cara perpindahan teknologi dan ia kini aktif mengendalikan keusahawanan secara online dengan pelajar tahun pertama UKM," katanya.

    

Rosmah berkata universiti-universiti perlu memainkan peranan sebagai peneraju dalam membangunkan sistem inovatif untuk membina modal insan secara holistik, meliputi pemerolehan pengetahuan, terutama dalam sains dan teknologi, nilai dan kemahiran termasuk kebolehan keusahawanan.

Pada majlis itu, 30 bakat muda Permata Seni - tarian, koir dan muzik - membuat persembahan bertenaga dan berwarna-warni yang mendapat sambutan menggalakkan daripada tetamu.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS