Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Penyelesaian kemelut Kedah diumum esok
Diterbitkan:  Mar 4, 2012 10:56 AM
Dikemaskini: 7:36 AM

Pertemuan khas antara Jawatankuasa PAS Pusat dengan badan perhubungan PAS Kedah malam semalam dan berlarutan sehingga awal pagi ini dikatakan berjaya mencapai keputusan yang akan menyelesaikan kemelut kepimpinan di negeri itu.

NONE Menurut Harakahdaily yang memetik Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub sebagai berkata, keputusan yang dicapai itu mengambil kira pelbagai pandangan yang dibincang.

"PAS sudah ada keputusan. Ia sangat mengambil kira pelbagai pandangan yang kita bincang.

"Kita akan umum keputusan tersebut secara rasami dalam masa terdekat," katanya dipetik organ rasmi parti itu.

Sementara itu, dalam satu teks pesanan ringkas, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memaklumkan satu sidang media khas mengenai isu Kedah akan diadakan pada jam 11 pagi esok.

Sidang akhbar itu akan diadakan di pejabat agung PAS Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

"PAS akan membuat sidang media khas isu Kedah jam 11 pagi esok, Isnin di pejabat agung PAS Jln Raja Laut. Semua wakil media dijemput," katanya.

Mesyuarat lima jam

Semalam, pertemuan khas bagi mencari penyelesaian isu Kedah itu dilaporkan berlangsung lebih lima jam bermula sekitar jam 9.30 malam sehingga jam 3 pagi tadi di kediaman rasmi Menteri Besar di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Ia berhubung isu Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan dilantik semula sebagai exco kerajaan negeri Kedah kerana dikatakan tidak mampu bekerjasama dengan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

phahrolrazi nawawi Phahrolrazi ( kanan ) dan Dr Ismail masing-masing merupakan timbalan pesuruhjaya PAS I dan II manakala Azizan adalah pesuruhjaya PAS Kedah.

Para pemimpin PAS Pusat seperti Timbalan Presiden, Mohamad Sabu dan Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar juga dilihat antara yang terawal memasuki kediaman rasmi menteri besar kira kira jam 8.15 malam.

Beberapa exco kerajaan negeri seperti Datuk Amiruddin Hamzah; Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Abdul Ghani Ahad juga kelihatan memasuki Seri Metaloon.

Menurut Harkahdaily lagi, difahamkan pertemuan malam semalam itu dibahagikan kepada dua sesi iaitu pertama pertemuan empat mata antara Salahudin dengan Phahrolrazi, dan diikuti dengan Azizan.

Ia kemudiannya disusuli dengan pertemuan Jawatankuasa PAS Pusat dengan badan perhubungan PAS negeri yang dipengerusikan presiden parti sendiri, Datuk Seri Hadi Awang.

Pertemuan tertutup itu merupakan kali kedua bagi membincangkan krisis dalaman parti itu di Kedah selepas mesyuarat khas PAS di Kuala Lumpur Khamis lalu gagal menemui jalan penyelesaian.

Dipertemukan buat kali pertama

Sementara itu, pagi tadi, Bernama melaporkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengumumkan keputusan berhubung kemelut pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah pimpinan parti itu, hari ini.

Salahuddin yang mempengerusikan pendengaran berhubung kemelut itu berkata Abdul Hadi yang mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat akan mengumumkan keputusan itu secara rasmi sama ada di Alor Setar atau Kuala Lumpur.

NONE Mereka yang terlibat dalam kemelut itu ialah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak ( kiri ) dan anggota-anggota exco Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh.

Phahrolrazi dan Dr Ismail tidak mengangkat sumpah bagi pelantikan semula sebagai exco bagi penggal 2012/2013 di Istana Anak Bukit pada 28 Februari lalu.

Pada hari yang sama Phahrolrazi yang juga timbalan pesuruhjaya I PAS Kedah berkata beliau enggan dilantik semula kerana mempunyai perbezaan pendapat yang "kritikal" dengan Azizan dalam soal pentadbiran kerajaan negeri.

Buat pertama kali, Azizan dan Phahrolrazi dipertemukan oleh PAS Pusat yang campur tangan untuk menyelesaikan kemelut itu dengan mendengar penjelasan mereka di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon di Alor Setar, malam tadi.

Salahuddin berkata Azizan dan Phahrolrazi, masing-masing mengambil masa sejam menyampaikan fakta dan hujah pada pendengaran itu.

hadi awang pc 060609 02 "Mereka memberi kerjasama cukup harmoni dan profesional. Saya yakin jawatankuasa kerja PAS Pusat yang dipengerusikan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ( kanan ) akan dapat mencari penyelesaian terbaik kepada masalah ini.

"Kami berpuas hati dengan penjelasan mereka. Keputusan jawatankuasa adalah muktamad dan mereka mesti akur," katanya kepada pemberita selepas pendengaran itu selesai kira-kira tengah malam tadi.

Semua jawatankuasa PAS Pusat termasuk timbalan presiden Mohamad Sabu, tiga naib presidennya dan beberapa anggota exco kerajaan Kedah hadir kecuali Dr Ismail.

Jawatankuasa itu berbincang hampir tiga jam bermula kira-kira 12.15 tengah malam selepas Salahuddin bertemu media yang menunggu di luar Seri Mentaloon.

Sebelum itu, semua anggota jawatankuasa PAS Pusat tiba di Seri Mentaloon kira-kira pukul 8 malam dan mereka menunggu Abdul Hadi yang tiba kira-kira 9.50 malam untuk mendengar hujah dan penjelasan Azizan dan Phahrolrazi.

Seri Mentaloon dikawal ketat dan pihak-pihak tidak berkenaan termasuk media tidak dibenarkan memasuki kawasan kediaman tersebut.

Bagaimanapun, harapan media yang menunggu seawal jam 8 malam di Seri Mentaloon agar ada pemimpin tertinggi PAS akan membuat kenyataan selepas mesyuarat jawatankuasa selesai kira-kira pukul 3 pagi, hampa.

Malah kenderaan yang membawa Azizan atau Phahrolrazi juga tidak berhenti.

 

ADS