SPDP belum pasti pulih menjelang PRU-13
Belum dapat dipastikan sama ada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sempat pulih menjelang pilihan raya umum akan datang berikutan krisis dalamannya, namun apa yang pasti parti yang berumur 10 tahun ini perlu menambah sokongan pengundi muda bagi menjamin kelangsungannya.
Menurut Ketua Bahagian Penerbitan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Ahi Sarok, SPDP perlu bekerja keras untuk meyakinkan pengundi muda yang kebanyakannya masih berdiri di atas pagar, bagi menyokongnya.
"SPDP perlu fokus kepada pengundi muda. Mereka perlu melibatkan golongan muda dalam program mereka. Sebagai tambahan, mereka juga perlu lebih ramai kalangan profesional sebagai ahli mereka dan untuk dipilih sebagai pemimpin," katanya kepada Bernama di Miri hari ini.
Beliau berkata pemimpin muda SPDP perlu didedah di samping perlu ada rancangan penggantian bagi menduduki kepimpinan tinggi parti.
"Pemimpin yang kalah dalam pilihan raya negeri yang lepas mesti sanggup memberi laluan kepada golongan muda," katanya.
Dr Ahi turut menyarankan sayap Putera dan Puteri SPDP turut ditingkatkan sebelum pilihan raya umum.
"Pemimpin Putera dan Puteri perlu diberi peluang yang sama dalam pentadbiran peringkat atas demi menjamin kesesuaian parti. Dilaporkan kira-kira 30 peratus pengundi berumur antara 21 hingga 40 tahun.
"Oleh itu adalah penting bagi sebarang parti politik yang mahu menang pilihan raya umum melibatkan pengundi muda dalam program dan aktiviti mereka," tambahnya.
Bagi menghadapi perhimpunan agung tiga tahun sekali SPDP nanti, Dr Ahi berkata agenda utama mesti ditumpukan untuk mengukuhkan parti, mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemimpin parti ekoran pertikaian dalam parti sebelum ini, dengan pemimpin yang berkebolehan dan berpengetahuan.
Beliau berkata bagi menarik pengundi muda untuk mengundi calon parti SPDP, ia mesti mengambil golongan muda memegang jawatan penting dan strategik dalam parti.
"Jika kumpulan ini ditinggalkan, dikhuatiri golongan pengundi muda akan meninggalkan BN (Barisan Nasional) dan ini akan memberi kesan kepada BN dalam pilihan raya umum kelak," katanya.
Perhimpunan agung SPDP akan diadakan pada 17 dan 18 Mac di Dewan Suarah Bintulu dengan lebih 800 perwakilan dijangka berhimpun.
Pada masa yang sama, Dr Ahi berkata parti komponen BN yang lain seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) perlu mencontohi SPDP dalam mewujudkan sayap Putera dan Puteri.
Beliau berkata SPDP perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan empat kerusi kawasan Parlimen yang disandangnya, dengan memberi contoh calon baru bagi kawasan Mas Gading perlu diberitahu lebih awal bagi membolehkan calonnya mula bekerja untuk mendapat sokongan pengundi, katanya.
Penyandangnya Dr Tike Lafe dilaporkan digugurkan sebagai calon boleh menang oleh parti, dari mempertahankan kerusi tersebut.
"Dengan hanya menamakan empat calon boleh menang (di Mas Gading) tidak akan mendatangkan kebaikan kerana mereka akan berkelahi sesama sendiri," katanya.
Dr Ahi berkata pengundi juga tidak lagi mahukan penyandang yang tidak boleh menjalankan tugas dan menunaikan janji.
- Bernama

