Jabatan Pelajaran Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis hari ini menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama membanteras masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

    

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dun Kasa berkata melalui kerjasama itu ia akan dapat membantu menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini termasuk kes-kes ponteng sekolah dan salah laku.

    

Katanya rekod Jabatan Pelajaran Perlis menunjukkan kes salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini meningkat 0.05 peratus daripada 0.48 peratus pada 2010 kepada 0.57 peratus tahun lalu, menyebabkan perhatian lebih serius perlu diberikan bagi menangani gejala berkenaan.

    

"Dengan adanya kerjasama antara Jabatan Pelajaran Perlis dan PDRM dalam menangani masalah ini, Jabatan Pelajaran mensasarkan dapat mengurangkan kes salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini kepada 0.03 peratus tahun ini," katanya ketika berucap sebelum upacara menandatangani MOU itu di Kangar hari ini.

    

Majlis menandatangani MOU itu diadakan di dewan mesyuarat Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad, Arau dekat sini dengan Dun menandatanganinya bagi pihak Jabatan Pelajaran manakala PDRM diwakili Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun.

Selepas majlis menandatangani MOU itu, satu mesyuarat bersama diadakan membabitkan 27 pengetua sekolah menengah, 27 pegawai perhubungan sekolah, tiga Ketua Polis Daerah Kangar, Padang Besar dan Arau serta empat ketua jabatan daripada PDRM Kontinjen Perlis.

    

Sementara itu, Zull Aznam memberitahu, rekod polis menunjukkan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini terdapat 20 kes jenayah melibatkan pelajar disiasat PDRM yang membabitkan kes rogol, samun, mendatangkan kecederaan, pecah rumah dan curi motosikal.

    

Katanya jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu apabila sembilan kes disiasat membabitkan sembilan tangkapan.

    

Beliau berharap kerjasama antara JPN dan PDRM itu dapat meningkatkan lagi permuafakatan kedua-dua agensi berkenaan ke arah mengurangkan masalah salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini.

- Bernama