Noh cabar audit ketirisan RM500j Yayasan S'gor
Datuk Seri Noh Omar mahu kerajaan negeri menjalankan audit forensik ke atas keterangan Pengurus Besar Yayasan Selangor yang berkata yayasan itu kehilangan RM500 juta sewaktu di bawah pemerintahan BN.
Ilham Marzuki, semasa keterangannya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat) semalam berkata, kajian pihaknya menunjukkan bahawa dari 1991 hingga 2008, berlaku ketirisan sebanyak RM500 juta.
Dalam sidang akhbar hari ini, Noh yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan BN Selangor berkata, sebarang audit forensik ke atas perkara itu amat dialu-alukan, untuk menentukan sama ada tuduhan itu benar atau kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan Rakyat sekarang, cuba untuk "menipu rakyat".
"Saya fikir mereka tidak mahu mengaku bahawa dalam tempoh dua tahun perkhidmatan, mereka telah salahgunakan RM1.4 juta, seperti yang dibangkitkan semasa perdengaran semalam, jadi mereka cuba mengheret BN bersama," katanya.

