Kerajaan negeri menyediakan tabung pendidikan anak syarikat dan badan berkanun untuk memberi biasiswa, dermasiswa, bantuan serta  sumbangan kepada warga kerja anak syarikat kerajaan Selangor dan anak-anak mereka yang berkelayakan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Tabung Pendidikan Anak Syarikat Negeri Selangor ini adalah salah sebuah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri besar berkata tabung itu disediakan selaras dengan hasrat dan aspirasi kerajaan negeri merakyatkan ekonomi dan menjadi sebuah negeri maju, sejahtera dan berkebajikan.

Katanya, dana permulaan tabung tersebut berjumlah RM10 juta disumbangkan oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad/Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS).

Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat Negeri Selangor ini berkuatkuasa pada November tahun lalu dan akan dirasmikan Sultan Selangor pada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.