Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) akan berusaha mewujudkan satu mekanisme yang sesuai bagi mengadili wartawan yang tidak beretika ketika menjalankan tugasan mereka, kata Setiausaha Agungnya, V. Anbalagan.

   

Beliau berkata usaha tersebut diambil kerana sebelum ini tidak ada satu mekanisme yang jelas dari segi penerimaan aduan orang ramai terhadap wartawan dan cara-cara untuk menangani aduan selepas itu.

    

NONE Dengan pewujudan mekanisme berkenaan kelak, NUJ boleh mengadili mereka yang terbabit dan sekiranya diperlukan wartawan yang dimaksudkan itu akan dipanggil untuk memberikan penjelasan, kata Anbalagan (kanan) ketika ditemuramah dalam program "Dalam Radar" terbitan Bernama Radio24 , semalam.

    

"Sebenarnya dalam perlembagaan NUJ, kita sememangnya mempunyai kuasa untuk mengadili wartawan yang tidak beretika.

    

"Malangnya, kuasa untuk mengadili wartawan itu tidak dipraktikkan sejak sekian lama dan ia berlarutan sampai ke hari ini."

    

Mengulas mengenai laporan yang tidak seimbang dalam sesetengah akhbar sejak kebelakangan ini, Anbalagan berkata, pengguna haruslah bijak menggunakan kuasanya

sebagai pengguna untuk membuat pilihan yang tepat.

    

Dalam konteks ini, katanya, jika seseorang itu merasakan isi kandungan akhbar yang dibacanya tidak memenuhi citarasanya, mereka boleh berpindah membaca akhbar lain.

    

Perpindahan itu, ujarnya, secara tidak langsung akan menghantar satu mesej jelas kepada pemilik akhbar untuk peka dengan kehendak semasa pembaca.

- Bernama