BR1M: 'Saya tolong awak, awak tolong saya'
Walaupun berulang kali, pemimpin BN menafikan bahawa pemberian wang tunai RM500 di bawah skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berbentuk rasuah menjelang pilihan raya umum, tetapi hakikatnya jelas menunjukkan sebaliknya.
BR1M adalah ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang pada pementangan Bajet 2012 berkata pembayaran sekali sahaja itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi inflasi.
Di bawah skim BR1M, kerajaan membelanjakan RM2.6 bilion bagi memberi RM500 kepada semua warganegara Malaysia yang pendapatan isi rumah mereka RM3,000 sebulan atau kurang.
Daripada menggunakan jentera perkhidmatan awam atau pegawai kerajaan bagi mengagihkan wang itu, adalah jelas bahawa BN cuba menampilkan diri mereka dengan seluruh proses itu.
Di seluruh negara, pusat permohonan BR1M dihiasi dengan logo-logo BN dan gambar ahli politik mereka. Begitu juga dengan kain rentang BR1m yang tidak terlepas dengan hiasan logo BN.
Gambar-gambar dan bidasan sudahpun tersebar di alam maya, khususnya melalui Facebook.
Sesetengah warga maya juga mendakwa bahawa surat yang dihantar oleh Kementerian Kewangan kepada pemohon BR1M disertakan dengan slip yang memaklumkan kepada mereka untuk mendapatkan baucar tunai dari pusat perkhidmatan wakil rakyat BN.

