LGE: Saya tak akan pegang jawatan KM terlalu lama
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata beliau tidak akan memecahkan rekod pendulunya, Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon yang memimpin negeri ini sebagai ketua menteri selama 18 tahun.
Dalam temubual eksklusif dengan akhbar harian
China Press
, Lim (kanan) mengaku beliau telah mencapai puncak kerjaya politiknya selepas menyandang jawatan tertinggi di negeri itu selama empat tahun, tetapi beliau tidak akan memegang jawatan itu selama Koh.
"Saya serahkan kepada rakyat Pulau Pinang," katanya.
Mengenai sama ada DAP akan mencontohi manifesto pilihan raya PKR sewaktu pilihan raya Sarawak tahun lepas untuk menghadkan tempoh ketua menteri kepada tiga penggal, setiausaha agung DAP itu menjawab: "Kami tidak pernah berbincang mengenainya."
Lim menolak dakwaan bahawa dia adalah seorang pemimpin autokratik yang telah mengatasi anggota exco kerajaan negeri yang lain, dengan berhujah bahawa ia adalah satu persepsi yang dicipta oleh Umno.
Mengenai pandangan rakan-rakannya bahawa beliau harus melepaskan lebih banyak kuasa pentadbiran untuk menggambarkan imej kabinet negeri sebagai satu pasukan, Lim berkata, ia adalah satu gambaran yang dicipta oleh media, yang sering memberi tumpuan terhadapnya.
"Seorang ketua menteri mesti memperlihatkan keprihatinan kepada semua dan melawat pelbagai tempat. Saya perlu menghadiri pelbagai acara, termasuk yang berkaitan dengan pertanian, malah sukan. Ini adalah skop tugas saya.
"Parti lawan menyerang saya dan bukan anggota exco yang lain, jadi saya perlu untuk terus mempertahankan diri saya dan ini mewujudkan persepsi tersebut," Lim dipetik oleh harian tersebut.
Zambry nafi Husni intai jawatan MB
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir (kiri) menyangkal khabar angin bahawa Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah akan menggantikannya sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum akan datang.
Dalam temubual eksklusif dengan akhbar bahasa Cina, Oriental Daily Zambry berkata, beliau tidak akan ikut rentak pihak yang sengaja memutarbelitkan fakta.
Jelas sekali, katanya, pembangkang telah kehabisan isu dan oleh itu menyebarkan khabar angin bahawa terdapat panik di dalam BN, tetapi Zambry menegaskan bahawa pihaknya tidak ambil kisah semua itu.
Ahmad Husni juga adalah ahli parlimen Tambun, Perak.
Ditanya sama ada beliau yakin untuk meneruskan penggal kedua, Zambry enggan mengulas kecuali berkata ia adalah di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
ADUN Pangkor itu juga menafikan khabar angin bahawa beliau mempunyai masalah bekerja dengan ahli exco kanan, Datuk Hamidah Osman, yang nampaknya memihak kepada puak Umno yang lain.
Beliau mengulangi bahawa ia adalah isu yang dicipta oleh pembangkang untuk mengelirukan rakyat.
[Baca berita penuh]

