Seorang jurucakap syarikat perlombongan nadir bumi Australia, Lynas Corp berkata, syarikat itu masih berharap supaya kilangnya di Malaysia akan dapat dibuka menjelang Jun walau menerima tentangan daripada aktivis setempat.

Kenyataan itu timbul ekoran rayuan yang difailkan oleh sekumpulan aktivis supaya Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyemak semula keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang meluluskan lesen sementara kepada Lynas (M) Sdn Bhd untuk beroperasi.

“Lynas telah memberi petanda bahawa rayuan ini tidak akan mengubah rancangan projek ini," kata jurucakap itu seperti dilaporkan Reuters hari ini.

Rayuan yang dikemukakan mengikut Sekysen 32 Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304) itu akan didengar pada April.

AELB meluluskan lesen sementara untuk beroperasi pada Februari lalu dengan syarat syarikat itu mengemukakan pelan terperinci untuk menyediakan kemudahan pelupusan tetap bagi memproses sisa daripada kilang berkenaan, dalam tempoh 10 tahun.

Lynas (M) Sdn Bhd juga pada Selasa lalu dilaporkan telah bersetuju untuk menghantar bahan buangan dari kilang yang terletak di Gebeng, Kuantan itu ke luar negara sekiranya gagal mendapatkan lokasi kemudahan pelupusan tetap berkenaan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed juga dilaporkan berkata, Lynas telah menghantar surat jaminan kepada kerajaan sebagai mematuhi sebahagian syarat yang dikenakan kepada syarikat itu ketika mereka menerima lesen beroperasi sementara dari AELB.