Pemuda MCA kesal 'dasar pemisah' dimansuh
Pemuda MCA hari ini menyatakan kekesalannya terhadap tindakan kerajaan memansuhkan dasar pemisah ( exit policy ) selaras dengan pembatalan Skim Saraan Baru Penjawat Awam (SBPA) semalam.
Setiausaha agungnya Datuk Chai Kim Sen berkata, di samping menaikkan gaji, kerajaan tidak patut melupakan sistem "ganjaran dan hukuman" bagi mengawal sikap dan keberkesanan perkhidmatan.
"Penting bagi kerajaan membentuk sistem penilaian adil dan telus untuk memberi ganjaran dan hukuman kepada penjawat awam, walaupun dengan mengikuti langkah sektor swasta yang menggunapakai dasar pembuangan pekerja, jadi ia dapat membuang tanggapan negatif bahawa penjawat awam tidak produktif," katanya.
Chai berkata, ia penting bagi membuang imej penjawat awam yang dikaitkan dengan sikap 'Napoleon kecil' yang memberi kesan buruk kepada pentadbiran kerajaan BN.
"Untuk sekian lama, BN menggalas beban atas perkhidmatan penjawat awam yang lemah dan kini masanya untuk melaksanakan sistem lebih berkesan supaya tiada lagi kakitangan yang lemah," katanya.

