Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mencari jalan terbaik agar pengguna di Johor yang tidak menggunakan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) tidak dikenakan bayaran tol.

Beliau berkata perincian berhubung perkara itu akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi bagi membolehkan beberapa masalah teknikal diselesaikan.

"Mereka yang tidak guna EDL tidak sewajarnya dikenakan bayaran tol. Kita akan selesaikan perkara ini.

"Jangan bimbang, kita sentiasa dengar rintihan dan keluhan rakyat," katanya pada Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia yang dihadiri 10,000 rakyat pelbagai kaum di Johor Bahru.

Najib juga berkata perkara itu dibincangkan di Majlis Perundingan Ekonomi yang turut dihadiri wakil kerajaan negeri baru-baru ini.

Sebelum ini, dikatakan rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang alik setiap hari terpaksa membayar sebanyak RM15.30 dan tol dijangka turut dikenakan terhadap pengguna yang memasuki Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di Bangunan Sultan Iskandar, walaupun tidak melalui EDL.

Pemuda MCA dan Gerakan Johor Bahru sebelum ini meminta kerajaan menangani isu harga tol di (EDL) yang disifatkan akan membebankan pengguna yang keluar dan masuk ke negara ini.

   

Ini kerana mereka yakin isu tol berkenaan akan digunakan pembangkang dalam pilihan raya umum ke-13 bagi memancing undi di negeri ini sekiranya kerajaan tidak mengatasinya.

   

EDL sepanjang 8.1 kilometer dibangunkan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MRCB Lingkaran Selatan Sdn Bhd (MLSSB) dengan kos RM977 juta.

Lebuh raya itu bertujuan menjimatkan masa dan menyelesaikan masalah kesesakan jalan terutama di Jalan Tebrau dan Jalan Pandan, di bandar raya ini.

Sementara itu, Najib berkata banyak projek pembangunan dirancang di Johor dan ia hanya boleh diteruskan jika BN terus diberi mandat memerintah negara ini.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi ketika ini, Malaysia memerlukan sebuah kerajaan berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik untuk mengemudi negara agar mendapat pembangunan berterusan.

Najib berkata kerajaan BN juga tidak pernah menjanjikan omong kosong seperti pembangkang yang menjanjikan bulan dan bintang serta cakerawala, sedangkan niat sebenar mereka hanyalah untuk menawan Putrajaya.

"Tak masuk akal nak turunkan harga minyak, hapus pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan semua tol serta kurangkan defisit. Jangan kena tipu lagi. Selepas 2008, apa perubahan yang telah mereka bawa di negeri-negeri yang dipegang mereka?" katanya.

- Bernama