BERITA Malaysiakini

Pemimpin Umno: Keputusan Shahrizat baik untuk parti

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Pemimpin Umno menyambut baik tindakan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk melepaskan jawatan sebagai menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat seperti yang diumumkannya hari ini.

NONE Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafee Apdal berkata langkah yang diambil oleh Ketua Wanita itu baik dan tepat pada masanya demi menjaga kepentingan kerajaan BN dan juga parti.

"Kita sangat menghargai keputusan yang telah dibuat oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Ianya adalah baik dan tepat pada masanya untuk pastikan kejayan kerajaan dan BN.

"Ini juga tidak ada kaitan dengan dia bersalah atau tidak, tapi semuanya dilakukan adalah demi kepentingan kerajaan dan juga parti," katanya yang juga menteri kemajuan luar bandar dan wilayah ketika dihubungi Bernama .

Shahrizat mengumumkan pengundurannya apabila tempoh pelantikannya sebagai anggota Dewan Negara tamat 8 April depan.

Bagaimanapun, katanya beliau akan kekal sebagai Ketua Wanita Umno dan Ketua Wanita BN, selepas berfikir dengan panjang lebar bagi meneruskan tugas dan amanah yang telah diberikan kepadanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafee meminta agar golongan wanita tidak berasa terjejas dengan pengunduran Shahrizat selaku menteri kerana kerajaan memberi jaminan tidak akan mengabaikan kepentingan dan sumbangan wanita kepada pembangunan negara.

"Saya berharap dengan pengunduran Shahrizat, kaum wanita tidak akan berhenti menyumbang kepada negara. Tidak bermakna tanpa ada kedudukan dalam kabinet, tidak bererti wanita akan diketepikan.

"Saya yakin Perdana Menteri sentiasa menghargai dan mengiktiraf perjuangan wanita," katanya.

NONE Ketua Penerangan parti, Datuk Ahmad Maslan pula meminta pihak pembangkang supaya tidak membuat kesimpulan mengelirukan berikutan pengumuman pengunduran Shahrizat.

Katanya tindakan Shahrizat merupakan satu pengorbanan yang wajar kerana beliau telah mendahulukan kepentingan pandangan umum daripada kepentingan jawatannya sebagai menteri.

"Shahrizat sudah tentunya telah mengkaji kesan tindakan beliau meletakkan jawatan bagi memudahkan penyiasatan seterusnya dilakukan," katanya.

Beliau yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata walaupun kes berkenaan Perbadanan Fidlot Nasional (NFCorp) masih disiasat, beliau mahu persepsi rakyat diperbetulkan dalam isu berkaitan. -

"Kes suami beliau belum dibawa ke mana-mana mahkamah. Kita ada prosedur perundangan dan seseorang itu adalah tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah," katanya.

NONE Seorang lagi naib presiden parti, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menyambut baik tindakan Shahrizat dan menyifatkan keputusan itu bukan sesuatu yang mudah.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata beliau akan terus membantu Shahrizat dalam menjalankan tanggungjawabnya memimpin Wanita Umno.

"Saya percaya ia bukan satu keputusan yang mudah untuknya. Saya sokong keputusan itu dan saya akan membantunya untuk terus memimpin Pergerakan Wanita Umno," kata Hishammuddin.

- Bernama