Rosmah: Pemartaban wanita bukan ambil alih tugas lelaki
Isteri perdana menteri Rosmah Mansor berkata pertubuhan wanita di setiap peringkat perlulah memartabatkan peranan mereka dalam pelbagai bidang di negara ini.
Bagaimanapun beliau berkata pemartaban dan pemerkasaan wanita bukanlah bermakna mereka mahu mengambil alih tugas semua bidang sepenuhnya daripada kaum lelaki.
"Apa yang kita harapkan hanyalah agar hak-hak dan kesejahteraan wanita diberi perhatian yang sewajarnya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung Pertubuhan Ibu Tunggal dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Pekan, hari ini.
Beliau berkata golongan wanita juga perlu diberikan hak untuk mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti, pekerjaan serta kesihatan yang sempurna.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan mesin ais krim goyang 1Malaysia kepada 47 usahawan ibu tunggal dan WI daerah Pekan.
Beliau berkata pemartaban dan pembelaan terhadap nasib ibu tunggal di negara ini perlu diberikan perhatian sepenuhnya.
"Ibu-ibu tunggal haruslah diberikan kemudahan yang sesuai dengan status mereka sebagai pencari nafkah tunggal kepada keluarganya," katanya.
Katanya ibu-ibu tunggal kini tidak boleh dipinggir dan terpinggir atau hanya menjadi penerima manfaat daripada hasil pembangunan.
Rosmah berkata sebaliknya mereka harus turut terlibat dengan lebih aktif sebagai ejen perubahan dengan kaum wanita juga merupakan tiang utama kepada pembangunan dan perubahan.
Dalam pada itu, katanya ilmu kesejahteraan rumah tangga juga tidak terhad kepada aktiviti seperti memasak, menjahit dan menganyam malah lebih daripada itu.
"Tidak ketinggalan juga, rajin-rajinlah belajar ilmu untuk menjaga suami demi kesejahteraan rumah tangga anda," katanya.
- Bernama

