PM: Rampasan tanah punca projek YBK terjejas
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Negeri Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat telah merampas sebanyak 473 ekar tanah di Serendah yang sepatutnya digunakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK).
Beliau berkata, rampasan tanah itu menjadikan projek yang ingin dilaksanakan oleh YBK terjejas.
"Saya mendengar lakaran mengenai hala tuju YBK dalam tempoh 5 tahun yang akan datang. Projek yang akan dibangunkan YBK di Serendah. Saya dengar dengar teliti. Tetapi ada satu kekangan yang agak besar. Rancangan ini adalah di atas tanah yang dirampas kerajaan negeri.
"Oleh itu nampaknya pelan transformasi lima tahun ini bersyarat," katanya pada ucapan perasmian Pelancaran Program Transformasi lima tahun YBK di Shah Alam Convention Center (SACC) hari ini.
Menurut Najib, tanah tersebut dirampas disebabkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak dapat menjadi pengerusi yayasan itu.
Justeru, katanya, pelan YBK tersebut berkait rapat dengan transformasi politik di Selangor.
"Dalam satu lawatan yang saya buat di gerai-gerai di kompleks di sini (Shah Alam). Ada yang menyeru supaya kerajaan pusat mengambil alih kompleks itu kerana kadar sewanya telah naikkan seratus peratus.
"Dari ambil alih kompleks itu, adalah lebih mudah jika kita ambil alih kerajaan negeri Selangor," katanya sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.
Sementara itu, Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom pula menyifatkan, pembasmian kemiskinan bukan lagi menjadi faktor utama golongan tertentu di Selangor.
Katanya, tanah milik YBK yang khusus kepada golongan miskin dirampas malah program pembangunan insan juga tidak mendapat kelulusan kerajaan negeri.
"Nasib baik PM sayang dengan YBK dan beliau pindahkan (program) ke Melaka dan masih ada lagi kerja-kerja pembinaannya diserah kepada YBK. Inilah punca rezeki YBK sekarang.
"Suara yang sebenarnya ada sama dengan kita sekarang. Kita kini bersama-sama memakai baju warna biru. YBK tak perlu malu lagi," katanya.

