Hishamuddin Rais, ISA dan Dotmai
Setiap minggu, boleh dikatakan tanpa mungkir, saya menyunting tulisan Hishamuddin Rais. Tetapi minggu ini tidak pasti sama ada saya akan menyunting tulisan itu lagi. Dan saya tidak pasti bila akan menyuntingnya semula.
Setiap minggu, boleh dikatakan tanpa mungkir, saya menyunting tulisan Hishamuddin Rais. Tetapi minggu ini tidak pasti sama ada saya akan menyunting tulisan itu lagi. Dan saya tidak pasti bila akan menyuntingnya semula.
Penulis kolum 'Dotmai' itu kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejak jam 5 petang Selasa lalu. Setengah jam sebelum ditahan, kami sempat lagi bergurau tentang sebuah tulisan terbarunya di sebuah restoran di bawah pejabatnya di Jalan Kemuja, Bangsar. ([#1] Nilai dan 'jati diri' Utusan [/#], 9 April)
Di restoran mamak inilah kami bertemu awal tahun 1999, waktu itu saya membawa bayaran honorarium bagi tulisannya dalam majalah pro-reformasi Detik . Waktu itu, saya bertugas sebagai editor majalah dwibulanan itu, kini telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri. Hishamuddin juga penulis tamu untuk majalah ini.
Restoran itu sejak beberapa hari lalu lengang daripada aktivis politik dan penyokong reformasi - selalunya mereka bertenggek di situ membicarakan isu-isu politik semasa, sesekali mengutuk Mahathir, tentunya!
Sejak 1999, tidak terhitung lagi beberapa ribu gelas teh tarik telah habis dihirup ketika khayal berbincang tentang pelbagai perkara. Selalunya perbincangan itu berselang-seli antara hangat, ilmiah, lucu dan serius.
Nama kolum 'Dotmai' di malaysiakini itupun dibincangkan bersama saya di restoran ini.
Sebelum ditahan pada Oktober, 1998 - Mahathir menuduhnya secara peribadi - Hishamuddin menulis dalam kolumnya 'Analog' di Berita Minggu . Beliau pernah juga menyumbang sekali-sekala untuk 'Vox' di The Sun edisi Ahad.
Tetapi kedua-dua akhbar itu terpaksa ditinggalkan kerana tekanan politik. Beliau tidak boleh menulis di mana-mana, kecuali di malaysiakini , dan beberapa penerbitan bebas serta pembangkang (jarang sekali Harakah ).
Sebagai seorang aktivis yang dikenali sejak kebangkitan siswa 1974 dan pelariannya di luar negara selama kira-kira 20 tahun, tulisannya memang mempunyai ramai peminat. Beliau sendiri mempunyai khalayak kenalan yang besar dan pluralistic .
Kajian di Bukit Aman
Bagaimanapun, katanya sendiri, ramai juga kenalannya kini tidak sanggup lagi duduk-duduk dan bersembang berjam-jam lamanya sejak beliau aktif dengan gerakan reformasi. Dulu, katanya, ramai kenalan seninya berbual di situ tetapi kini nampaknya telah menghilangkan diri.
"Tetapi tidak mengapalah," katanya, "kini saya dapat kenalan baru pula."
Selepas pilihanraya umum lalu semakin ramai aktivis pembangkang dan reformasi datang berbual - menggantikan kenalan-kenalannya yang telah menghilangkan diri. Saya seorang daripadanya. Jika malas pulang ke rumah, selepas sesi sembang yang panjang, saya terus menumpang tidur di pejabatnya.
Pada September atau Oktober tahun lalu, Hishamuddin sepatutnya berada di Jepun selama tiga bulan untuk satu program fellowship . Beliau dipilih oleh satu yayasan di negara itu untuk menjalankan sedikit kajian ilmiah sebagai 'intelektual rakyat' atau public intellectuals .
Bagaimanapun, kerajaan Malaysia tidak meluluskan pasportnya. Jenuh juga Hishamuddin berurusan dengan beberapa pegawai kanan yang ada hubungan dengan kementerian itu tetapi gagal. Wakil yayasan dari Jepun itu datang lagi tahun ini untuk memujuk Hishamuddin agar terus menjalankan kajian ilmiah itu, khususnya tentang perkembangan budaya dan generasi muda Malaysia, tetapi nampaknya belum berhasil apa-apa.
Tiba-tiba mulai minggu lalu Hishamuddin dipanggil untuk menjalankan kajian di Bukit Aman. Kajian ini, kita semua tahu, sangat istimewa dan tidak mudah untuk disertai tanpa sebarang kelayakan. Saya percaya kajian di Bukit Aman itu termasuklah tulisan-tulisannya dalam ruangan 'Dotmai' di malaysiakini .
Saya fikir begitu kerana seorang lagi rakan yang ditahan ISA pada 12 Oktober 1998 pernah juga disiasat tentang satu wawancaranya - kebetulan dengan saya. Wawancara bertajuk 'Teruskan Reformasi' dalam majalah Tamadun bulan itu menjadi bahan siasatan terhadap Saari Sungib (juga ditahan baru-baru ini). Siasatan itu juga menyebutkan hubungan Saari dengan saya.
Kali ini, tentunya siasatan Hishamuddin itu tidak lari daripada 'Dotmai' dan barang kali saya sendiri.
Sebenarnya bekas aktivis pelajar 1974 ini lucu juga. Ketika ditahan polis di balai Jalan Dang Wangi (sebelah kompleks Campbell) pada 17 Februari lalu, beliau sengaja memberitahu kerjanya hanya sebagai "pemikir isu-isu semasa".
Kisah pegawai penyiasat
Apabila pegawai penyiasat bertanya apakah idea-idea yang difikirkannya, beliau menjawab, "www.malaysiakini.com." Kami sama-sama ketawa apabila Hishamuddin menceritakan pengalamannya ditahan pada hari itu. (Sebenarnya sudah lima kali beliau ditahan kerana berhimpun secara haram).
Barangkali pegawai penyiasat itu kini telah menjadi pembaca setia malaysiakini , khususnya 'Dotmai', siapa tahu? ([#2] Yang mahazalim kita lawan! [/#], 20 Feb)
Setelah 15 bulan menyunting, setiap minggu, tulisan Hishamuddin, tidak menyuntingnya minggu ini terasa janggal sekali. Apatah lagi apabila penyuntingnya sendiri tidak ada teman untuk 'pekena' teh tarik, kehilangannya secara mendadak dan tiba-tiba itu sungguh terasa sekali.
Menyunting tulisan beliau tidaklah sukar. Hishamuddin seorang penyumbang yang cukup menghormati bidang tugas editor dan tidak banyak cerewet. Sesekali beliau 'bising' juga apabila maksud dan ideanya terpotong atau telah diubah suai tanpa kerelaannya.
Tetapi ada dua perkara saya paling suka pada tulisannya. Pertama, keupayaannya untuk menyampaikan sesuatu idea abstrak dengan mudah dan menarik (termasuk istilah dan gaya bahasanya).
Hishamuddin rupa-rupanya seorang Melayu yang terkepung dalam peredaran masa. Beliau tidak sempat mengikuti perubahan istilah dan ungkapan, khususnya dunia anak muda yang ingin sekali dijiwainya, bahasa Melayu - ada kalanya terasa semakin 'korup.' Pengetahuan bahasanya masih kuat dipengaruhi oleh zaman remaja dan belianya ketika belum bertolak ke luar negara.
Kedua, pengalamannya di luar negara dan cara beliau bercerita. Sebagai seorang yang telah berusia, ingatannya (lebih tepat, kenangannya) kuat dibalut nilai emosi dan sentimen. Maksud saya, emosi itu menolong memperkayakan dan menajamkan pengamatannya terhadap peristiwa-peristiwa yang dilaluinya - misalnya di Iraq, Australia, Palestin, London dan Eropah umumnya. Terasa sekali tulisan tentang pengalamannya dan peristiwa politik dunia itu lebih halus, dekat dan lancar. ([#3] Memori Perang Teluk di London [/#], 27 Jan)
Setiap kali terfikir tentang 'Dotmai', saya terkenangkan nasib yang sedang dilalui penulisnya. Dan tidak ada sesiapa di luar sini yang mengetahuinya. Hanya Tuhan yang Maha Mengetahui.
Tidak pasti berapa lama lagi ruangan ini akan muncul semula dan kita boleh membaca tulisan pertama selepas dikurung ISA. Hanya Dr Mahathir ada jawabannya.
Teringat saya pesanan penulis Indonesia tersohor Goenawan Mohamad: "wartawan kami telah belajar melihat halangan sebagai tantangan (perlawanan)."
Untuk Mahathir, kami juga telah belajar melihat halangan sebagai bantahan.
FATHI ARIS OMAR kini bertugas sebagai editor berita malaysiakini


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.