Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PDRM akan perkenal 'maskot'
Diterbitkan:  Mar 14, 2012 3:12 PM
Dikemaskini: 10:37 AM

Buat pertama kali sejak 205 tahun penubuhannya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperkenalkan maskot yang tersendiri sebagai lambang kebanggaan dan pencapaian pasukan itu.

    

NONE Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata bagaimanapun polis masih belum boleh mendedahkan maskot tersebut kepada umum kerana ia merupakan satu kejutan semasa majlis sambutan Hari Polis ke-205 yang akan diadakan di Dataran Merdeka di ibunegara.

    

"Bak kata lagu Siti Nurhaliza 'biarlah rahsia'," katanya kepada Bernama hari ini.

    

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata buat julung kali juga, sambutan Hari Polis akan dilakukan secara kiraan detik (countdown) pada 24 Mac ini dari 8.30 malam sehingga 12 tengah malam.

    

"Maskot itu akan diperkenalkan tepat pada 12 tengah malam selepas kita countdown pada majlis tersebut. Kita menjangkakan kira-kira 3,500 pengunjung dari dalam dan luar negara akan hadir bagi memeriahkan majlis yang akan diwarnai dengan pelbagai pertunjukan dan persembahan," katanya.

    

Beliau berkata seramai 1,500 pegawai dan anggota polis dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan itu.

    

Penubuhan pasukan polis di negara ini bermula pada zaman pemerintahan British pada 1807 dan evolusi pasukan itu berubah mengikut keperluan semasa termasuk cabaran menghadapi ancaman serangan gerila komunis pada era 1940-an sehingga 1960-an.

    

Pada masa kini, sejajar dengan matlamat mengurangkan jenayah melalui enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Malaysia diiktiraf negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2011, sekaligus memartabatkan imej PDRM di mata dunia.

    

Kesungguhan dan komitmen PDRM terbukti apabila pada tahun lepas, jenayah indeks keseluruhan turut mencatat penurunan 11 peratus berbanding tahun 2010, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu lima peratus.

Indeks jenayah jalanan pula mencatat penurunan 40 peratus berbanding tahun 2009, iaitu selari dengan sasaran yang ditetapkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS