Ibrahim Ali mahu Akta Murtad diwujudkan segera
Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) menggesa kerajaan pusat supaya segera mewujudkan Akta Murtad yang didakwanya bagi menangani jumlah murtad yang semakin tinggi di kalangan umat Islam.
"Saya fikir Akta Murtad mesti lulus untuk menangani isu murtad," kata ahli parlimen itu hari ini.
Dakwanya, terdapat banyak kes umat Islam yang semakin mendekati agama lain dan beberapa mereka menjadi murtad, sesuatu yang dianggapnya sebagai perkembangan yang membimbangkan.
"Sekarang ini pun sudah ada orang Islam yang beralih ke gereja untuk mencari kedamaian," kata Ibrahim.
Walau bagaimanapun, menurutnya, kesalahan juga mesti ditanggung oleh umat Islam yang berkemampuan tetapi tidak memenuhi tanggungjawab mereka membantu saudara-saudara mereka yang kurang bernasib baik.
"Orang Islam yang miskin tidak dibantu, jadi orang Kristian menggunakan amal sebagai cara untuk mendekati umat Islam yang miskin," katanya.

