Seorang pemandu yang sedang membaiki lorinya di Jalan Felda Telang 1, Ladang Sungai Kelembung, Kuala Lipis, maut selepas lori berkenaan tiba-tiba bergerak dan merempuhnya.
Lau Hon Yong, 53, dikatakan tersepit di antara lorinya dengan pokok kelapa sawit dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang semalam.
Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, ASP Zainalabidin Othman berkata mangsa mati di tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati mangsa tidak menarik brek tangan lori tersebut dengan dengan kuat menyebabkan kenderaan itu bergerak sebelum merempuhnya," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Dalam kejadian berasingan di Km 43 Jalan Kuantan-Kemaman, seorang pemandu Ruhazril Rosli @ Rosdi, 19, maut selepas keretanya bertembung dengan sebuah lori pada 7 petang semalam.
Mangsa yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Terengganu dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika melalui sebuah selekoh sebelum bertembung dengan lori itu.
Sementara itu seorang pelajar Tingkatan Tiga turut maut selepas motosikalnya dilanggar oleh sebuah kereta di Km 12 Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kerdau
kira-kira 3.45 petang semalam.
Muhammad Nabil Raihan Osman, 15, dari Kampung Lipat Kajang, Kerdau meninggal di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
- Bernama
