IGP: Kehadiran polis di tempat awam dipertingkat
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan meningkatkan kehadiran anggotanya di kawasan awam temasuk lokasi pengangkutan awam sebagai usaha mencegah jenayah.
Beliau berkata langkah itu perlu bagi memastikan orang awam dan pengguna perkhidmatan awam sentiasa berasa selamat sejajar dengan hasrat inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) kerajaan bagi mengurangkan kadar jenayah.
"Memang saya dapat laporan melalui pelbagai cara dan pagi ini saya sendiri menaiki LRT (transit aliran ringan) dan bertanya apa perasaan mereka ketika menaiki LRT dan jawapan yang saya terima semua jawab selamat," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Stesen LRT Jelatek di ibunegara, hari ini.
Ismail menaiki pengangkutan rel itu ke beberapa stesen LRT serta bertemu mesra dengan pengguna yang dalam perjalanan ke tempat kerja di sekitar ibunegara mulai jam 8 pagi sehingga 10 pagi ini.
Ismail berkata melalui tinjauan turun padang itu beliau dapat mendengar sendiri pendapat para pengguna perkhidmatan awam mengenai aspek keselamatan serta saranan mereka.
"Saya ingin berpesan kepada anggota saya supaya bersifat 'omnipresent' (terdapat di mana-mana) supaya polis sentiasa berada di tempat-tempat yang strategik, tempat orang ramai," katanya.
Ketua Polis Negara itu turut meminta Polis Kontinjen Kuala Lumpur menempatkan anggota polis di tempat-tempat yang sepatutnya untuk memastikan pengguna berasa selamat dan orang ramai memberikan pandangan mereka kepada pihak polis dalam usaha mencegah jenayah secara bersama.
"Saya harap orang ramai dapat memberi pandangan bagaimana polis dapat memperbaiki perkhidmatan," katanya.
Beliau berkata pasukan polis turut mengalami perubahan dengan Program Tranformasi Kerajaan dan berjaya menjadikan Malaysia sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan ke-19 di dunia menerusi laporan Indeks Keamanan Global (GPI) 2011.
Kesungguhan dan komitmen polis terbukti apabila pada tahun lepas, jenayah indeks keseluruhan mencatat penurunan 11 peratus berbanding tahun 2010, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu lima peratus.
Sementara itu, dalam perjalanan itu, Ismail turut singgah di stesen KLCC dan stesen Masjid Jamek untuk menemui orang ramai di situ.
Antara pegawai yang mengikuti beliau ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah, Ketua Polis Daerah Ampang ACP Amiruddin Jamaluddin, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul Supt Othman Abu Bakar.
Semasa bertemu orang ramai, Ismail bertanya soalan seperti "Rasa selamat tak menggunakan LRT?" selain bertanya pendapat mereka mengenai aspek keselamatan semasa menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur.
Beliau turut mengedar risalah pencegahan jenayah kepada pengguna yang ditemui, lengkap dengan nombor telefon ibu pejabat polis di sekitar Lembah Klang dan buku nota polis.
Apabila tiba di KL Sentral, Ismail memberitahu media bahawa polis akan menempatkan anggota di kawasan tumpuan orang ramai seperti stesen-stesen pengangkutan awam.
- Bernama

