Bekas pelajar Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman (STAR) Mergong di Alor Setar merancang merayakan jubli emas penubuhan sekolah itu tahun ini secara besar-besaran.
Presiden Persatuan Bekas Pelajar STAR (Ex-Starian) Datuk Mansor Ismail berkata pelbagai program telah dirancang bermula dengan pengkisahan penubuhan STAR pada era tahun 60-an sehingga kedudukannya sekarang di Perpustakaan Awam Kedah bulan ini.
Semasa penubuhannya di Pumpong pada 1962, STAR dikenali sebagai Sekolah Menengah Kedah atau Kedah Secondary School. Dua tahun kemudian ia berpindah ke Kolej Sultan Abdul Hamid dan setahun selepas itu pindah ke Mergong dan dinamakan sempena nama Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.
Mansor memberitahu Bernama hari ini, sambutan itu dijangka mengimpunkan beribu-ribu bekas pelajarnya dari tahun 60-an hingga sekarang di sekolah itu April ini.
Program yang dirancang termasuk pelancaran Facebook Ex-Starian Mergong dan aktiviti lain seperti syarahan, sukan dan acara rekreasi membabitkan pelajar-pelajar STAR.
Pameran fotografi dan koleksi sejarah STAR akan berlangsung Ogos ini manakala kemuncaknya ialah majlis penyatuan dan jamuan tahunan bekas pelajar pada malam kedua Hari Raya Aidilfitri di Hotel Star City di Alor Setar.
Bekas pelajar yang ingin menyertai program yang dirancang boleh menghubungi Ex-Starian di alamat Fidil Engineering Sdn Bhd, Lot 68, Jalan Timur 5, Kawasan Perusahaan Mergong, Lencongan Barat, Alor Setar atau hubungi 04-7344291; faks 04-7340735 atau email [email protected].
- Bernama
