Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub memberi tempoh tiga hari lagi kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan untuk mengemukakan jawapan terperinci berhubung  prestasi semasa pelaburan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) atau beliau akan mendedahkan dokumen yang berkaitan berhubung prestasi kewangan syarikat itu.

NONE Dokumen itu, kata Salahuddin, akan menyangkal jawapan bertulis yang diberikan oleh Ahmad Maslan, yang menyatakan bahawa keuntungan sebelum cukai FGVH pada 2009 dan 2010 adalah RM203 juta dan RM366 juta.

"Saya beri tempoh tiga hari kepada Ahmad Maslan untuk detailkan prestasi pelaburan FGVH di luar negara.

"Saya minta angka rasmi secara detail," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Menurut Salahuddin, PAS menunggu jawapan daripada Ahmad Maslan dan sekiranya beliau  gagal berbuat demikian, parti itu akan mendedahkan maklumat yang sebenar.

"Kita meragui jawapan beliau kerana PAS mempunyai maklumat mengenai angka-angka yang sebenar," katanya.

Sebelum ini, pelaburan-pelaburan yang dijalankan anak-anak syarikat FGVH seperti Felda Iffco Sdn Bhd, Felda Global Technologies melalui Twin Rivers Technolgies US (TRT) mencatatkan kerugian terkumpul hampir RM500 juta setakat tahun 2010.

[Baca berita penuh]