Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan hari ini menyifatkan keputusan bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir keluar parti sebagai keputusan silap.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat ketika BN mendapat sokongan menggalakkan daripada rakyat teramai.

NONE "Saya rasa itu keputusan yang silap. Ketika rakyat meninggalkan pembangkang, dia mengambil tindakan melawan arus," katanya yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Ahmad ( atas, tengah ) lagi, tindakan itu juga langkah mundur ke belakang apabila pandangan umum yang diperoleh melalui kajian ilmiah dan rambang mendapati sokongan rakyat bertambah kepada BN.

Abdul Kadir semalam mengisytiharkan meninggalkan Umno yang dianggotainya selama 56 tahun tetapi tidak menjelaskan sebab kenapa tindakan itu diambil.

Beliau sebelum ini menimbulkan perasaan tidak selesa pemimpin Umno, antaranya ekoran dakwaannya bahawa BN membayar pengundi kawasan parlimen Kulim-Bandar Baharu dalam pilihan raya umum lepas - yang menyebabkannya disiasat lembaga disiplin parti.

NONE Dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Ahmad bagaimanapun berkata beliau menghargai jasa-jasa Kadir selama beliau bersama Umno sebelum ini.

Sambil mengingatkan soal kesetiaan kepada parti, Ahmad juga secara sinis mengingatkan tentang seruan supaya anggota Umno patriotik dan cintakan parti selama ini yang sering diungkapkan Abdul Kadir ( kanan ).

"Walaupun beliau banyak jasa banyak berceramah ketika beliau ada jawatan tentang betapa cintanya beliau pada Umno, terutama serata alam beliau pergi, kumpulan orang, betapa kita mesti menjadi orang patriotik dan cintakan Umno, nampak gaya perkara itu hanya menjadi sejarah," katanya.

Ibarat kacang lupakan kulit

Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menyifatkan tindakan Abdul Kadir  meletak jawatan sebagai anggota Umno "seumpama kacang lupakan kulit".

ali rustam Beliau berkata bekas Menteri Penerangan itu tidak mengenang jasa terhadap parti yang disertainya selama ini sehingga memegang pelbagai jawatan termasuk Anggota Majlis Tertinggi Umno, Timbalan Menteri dan Menteri.

Bagaimanpun, katanya, tindakan itu tidak akan menggugat sokongan pengundi khususnya di Kulim-Bandar Baharu, Kedah terhadap BN.

"Mungkin hilanglah satu dua undi, tetapi ramai lagi yang menyokong BN," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan watikah pelantikan anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Keselamatan Bersama (JKKB) negeri Melaka.

 

Mengenai kenyataan Abdul Kadir yang mendakwa BN membeli undi untuk memenangi pilihan raya umum lepas, Mohd Ali yang juga Ketua Menteri Melaka berkata ia merupakan satu kenyataan yang menghina mereka yang mengundi beliau (Abdul Kadir) sebelum ini. 

Katanya sebagai seorang yang banyak mendapat kebaikan daripada parti dan kerajaan, Abdul Kadir tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan BN.

"Mengikut pengalaman saya, yang mendapat duit hanya jentera parti, pengundi tidak mendapat duit," katanya.

 

ADS