Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kerajaan negeri merampas 473 ekar tanah di Serendah yang sepatutnya digunakan oleh Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) seperti didakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

NONE "Tidak ada. Tidak ada. Kita tidak rampas tanah. Dakwaan itu saya rasa kalau dapat (tanah), senanglah. Tak ada rampasan. Tapi saya nak ingatkan pada semua sewa tanah mesti bayar.

"Kalau tanah tidak dibayar sampai 10 tahun, boleh jadi kita rampas tanah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sidang dewan undangan negeri petang tadi.

Katanya antara sebab tanah YBK diambil alih kerajaan negeri dan tidak dipulangkan semula kepada pertubuhan itu kerana cukai tanahnya dibayar oleh pihak lain.

Beliau berkata keputusan itu kekal walaupun YBK sebelum ini telah membayar tunggakan cukai sebanyak RM5.7 juta dengan bantuan Yayasan Melaka pada 2010.

"Sebab orang yang membayar bukan orang yang memiliki, jadi itu pun perlu kita semak. Nanti esok ada masalah besar daripada segi pemilik," katanya.

NONE Najib pada 14 Mac lalu dilaporkan berkata, tanah YBK dirampas oleh kerajaan negeri walaupun cukai telah dibayar menyebabkan projek yang ingin dilaksanakan terjejas.

Kerajaan negeri mengambil keputusan mengambil 191 hektar tanah milik YBK Selangor di Serendah pada 2010 meskipun tunggakan cukai RM5.7 juta semuanya telah dilunaskan.

Selain mengambil 191 hektar tanah, seluas 324 hektar lagi tanah yayasan itu telah dikaveat menyebabkan YBK tidak boleh membangunkan apa-apa program di atas tanah berkenan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai unit audit forensik bagi menyiasat kes kehilangan RM500 juta wang Yayasan Selangor, Khalid berkata, kes itu masih dalam siasatan dan kemungkinan mengambil masa sehingga enam bulan bagi mendapat keputusan.

"Kerajaan Selangor akan cuba sedaya upaya. Tetapi kes ini mesti dibuat dengan teliti dan dengan fakta yang kukuh," katanya.