Persatuan Penulis Perlis (3P) mensasarkan untuk menerbitkan 30 novel karya anggotanya pada tahun ini, kata Ketua Satu 3P Muhamad Harun.

Beliau berkata sehingga bulan ini, sebanyak 10 judul karya anggotanya sedang dalam proses penerbitan dan bakal berada di pasaran tidak lama lagi.

Persatuan juga berhasrat melahirkan lebih banyak penulis muda yang berupaya membangunkan minda masyarakat melalui karya mereka, katanya ketika berucap pada bengkel penulisan kreatif di Bukit Ayer dekat Kangar hari ini.

Bengkel penulisan kreatif selama dua hari bermula semalam itu diadakan sempena karnival sastera dan budaya Negeri Perlis anjuran bersama 3P dan Nukilan Unggul Publication Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Kelab-kelab Belia Malaysia (MAYC) Padang Besar.

Sebanyak 120 peserta menyertai bengkel itu.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan seminar "Brilliant Student", pertandingan origami dan pelancaran buku tulisan Jawi karya penulis Perlis.

- Bernama