Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) menyambut baik keputusan kerajaan pusat membenarkan kerajaan negeri Selangor menjalankan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Labu yang telah siap sepenuhnya baru-baru ini.

Pengerusinya Tan Sri Rozali Ismail berkata, dengan pengoperasian LRA itu, akan menambahkan bekalan 105 JLH (juta liter sehari) kepada loji sedia ada di Sungai Semenyih.

azlan Menurutnya lagi, LRA Sungai Labu juga akan menyalurkan bekalannya ke pelbagai tempat, termasuk stesen penerbangan antarabangsa KLIA, Litar F1 Sepang dan Bandar Baru Salak Tinggi.

"Ini jelas menunjukkan bahawa pihak kerajaan Persekutuan komited dalam menyelesaikan isu pembekalan air yang dihadapi di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Usaha-usaha yang dilaksanakan juga menunjukkan bahawa kepentingan pengguna adalah diutamakan," katanya.

Dalam masa yang sama, SYABAS berharap kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor meneruskan usaha sepakat, terutamanya dalam aspek penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya memandangkan ia tertangguh sekian lama.

"Apa yang lebih penting di sini adalah untuk memastikan pengguna menerima bekalan air tanpa sebarang gangguan berdasarkan permintaan dan kualiti bekalan yang ditetapkan.

"Justeru itu , semua pihak perlu mengambil peranan masing-masing demi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai," katanya lagi.