Seorang lelaki ditahan ketika  cuba menceroboh masuk asrama lelaki Kampus Aman Damai, Universiti Sains  Malaysia (USM) di George Town petang semalam.

    

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata lelaki berusia 29 tahun itu yang tidak mempunyai pekerjaan ditahan oleh seorang  pengawal keselamatan universiti berkenaan kira-kira 6.30 petang.

    

"Pengawal keselamatan itu yang terserempak dengan lelaki berkenaan mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan dan bertindak mengekorinya.

    

"Dia yang tidak menyedari diekori cuba menceroboh masuk sebuah bilik di tingkat dua kampus berkenaan sebelum ditahan pengawal keselamatan terbabit," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

    

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Sungai Nibong untuk siasatan lanjut.

Gan berkata siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu mempunyai  dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui tujuan lelaki itu menceroboh masuk ke dalam asrama lelaki sama ada untuk mencuri atau lain-lain," katanya.

    

Menurutnya, lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh rumah yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

- Bernama