Ketua Dewam Pemuda PAS pusat Nasrudin Hasan tetap berkeras bahawa adalah haram mengadakan sebarang hubungan dengan Israel, lebih-lebih lagi jika mereka menyokong agenda Zionis.

Menurutnya, hal ini disebabkan situasi ketika ini berbeza dengan zaman Rasulullah SAW yang membenarkan urusniaga dijalankan dengan Yahudi.

Akhbar Sinar Harian hari ini melaporkan kenyataan Nasrudin yang berbeza dengan dua pemimpin utama PAS - Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kedua-dua pemimpin tersebut dilapor berkata urusniaga dengan komuniti Yahudi dibenarkan tetapi ia adalah terhad kepada kaum itu sahaja dan bukannya dengan fahaman Zionis.

"Fatwa haram urus niaga dengan Yahudi dibina oleh para alim ulama berasaskan kesan dan perkembangan politik dan ekonomi Islam antarabangsa hari ini.

"Ia adalah kerana setiap ringgit atau dolar yang mengalir ke Israel melalui apa jua bentuk urus niaga dengan mereka menghasilkan sebutir peluru yang telah dan bakal menembusi jantung umat Islam Palestin," kata Nasrudin dipetik.

Katanya, fatwa tersebut dibina bukan kerana mereka dilahirkan sebagai bangsa Yahudi, tetapi disebabkan mereka melakukan jenayah ke atas umat Islam dan ia masih berlarutan hingga hari ini.