Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, polis sepatutnya berbincang dengan beliau dan saksi-saksi lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Wee mengulas laporan dalam akhbar vernakular yang memetik Ketua Polis Selangor, Tun Hisan Tun Hamzah sebagai berkata, tiada seorang pun di perhimpunan anjuran kumpulan pendidikan Cina, Dong Zong di Kolej New Era di Kajang, telah diserang.

NONE Katanya, beliau hairan dengan komen ketua polis Selangor itu kerana beliau tidak membuat laporan polis, jadi bagaimana mereka boleh membuat kesimpulan mengenai perkara itu tanpa menemuinya atau pengawal peribadinya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen, Wee berkata rakyat mahu polis lebih profesional.

"Saya menggesa pihak polis lebih profesional sebelum membuat kesimpulan," kata Wee.

Biasanya, kata Wee, polis akan memulakan siasatan hanya bila aduan dibuat dan menemui semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

Walaupun pihak berkuasa menegaskan tiada seorang pun yang menghadiri perhimpunan tersebut telah diserang, namun Wee tetap bertegas bahawa beliau hampir terkena tumbukan di perhimpunan itu.

Wee berkata, ketika beliau berjalan masuk ke tempat tersebut, tidak ada anggota polis yang mengawalnya.

Tiba-tiba, tambahnya, mereka yang berada di situ mula menghampiri dan ketika itu kira-kira 10 anggota polis membentuk rantaian manusia di sebelah kiri dan kanan.

Oleh itu, kata Wee, tidak mungkin bagi mereka untuk membuat kesimpulan bahawa tiada apa yang berlaku melainkan terdapat sebuah helikopter yang merakamkan video dari atas tentang yang berlaku.

"Bagaimana anda takrifkan serangan? Apabila ada lebam atau berdarah. Saya tidak cedera tetapi saya nampak tumbukan datang ke arah saya tetapi saya bergerak dan saya merasa sentuhan," kata Wee kepada pemberita.

Katanya, beliau tidak pasti sama ada ketua polis Selangor telah disalahpetik tetapi polis akan menyiasat secara terperinci jika beliau membuat laporan.

Wee mengulangi walaupun boleh mengenal pasti orang yang didakwa cuba menumbuknya, beliau tidak akan membuat laporan polis.

Satu lagi sebab mengapa Wee memutuskan untuk tidak mengambil tindakan lanjut adalah kerana untuk membawa dakwaan itu ke mahkamah, mestilah ada bukti untuk menunjukkan kecederaan.

Sambil menegaskan bahawa beliau adalah seorang yang berprinsip, Wee berkata, beliau tidak membuat aduan walaupun ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesaknya berbuat demikian.

Katanya, beliau menghadiri majlis itu bukan untuk menarik perhatian tetapi kerana mahu mendengar kebimbangan mereka.

"Jangan cuba halalkan kesalahan yang telah dilakukan," kata Wee, kerana gambar-gambar akhbar dan botol air plastik yang dilemparkan kepadanya semasa kekecohan tersebut, turut disiarkan dalam beberapa akhbar harian.

Tambahnya, jika pihak polis telah membuat kesimpulan berdasarkan sumber yang terhad pada masa itu, maka beliau dapat menerima rasionalnya.

[Berita penuh]

ADS