80 peratus cadangan PSC sedia dibawa ke Parlimen
Lapan puluh peratus daripada cadangan untuk menambah baik sistem pilihan raya negara telah dipersetujui dan sedia dikemukakan kepada Parlimen, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bagi Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya (PSC) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Beliau berkata setakat ini, majoriti daripada isu yang dicadangkan sebagai syor telah diterima jawatankuasa itu kecuali beberapa perkara yang perlu diperhalusi sebelum keputusan akhir diputuskan esok.
"Esok mesyuarat terakhir (PSC) kerana masih ada beberapa perkara yang perlu kami fikirkan untuk tujuan persetujuan... tetapi saya boleh katakan 80 peratus sudah kami persetujui yang boleh diangkat sebagai syor," katanya kepada pemberita selepas mempengerusiakan mesyuarat jawatankuasa tersebut di bangunan Parlimen hari ini.
Ongkili, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, bagaimanapun enggan mendedahkan butiran mengenai syor-syor berkenaan.
Beliau yakin laporan penuh itu boleh disiapkan sebelum 2 April depan dan menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk menentukan bila laporan itu boleh dibentangkan.
Sebagai pengerusi, Ongkili berkata beliau berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan anggota jawatankuasa itu di mana mereka menyatakan pandangan dalam usaha membantu memperkasakan isi laporan.
PSC yang ditubuhkan pada 2 Oktober tahun lepas diberikan tempoh enam bulan untuk mengemuka cadangan ke arah penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.
Sehingga 1 Disember lepas, jawatankuasa itu telah membentangkan laporan awal yang mengandungi 10 cadangan kepada Dewan Rakyat termasuk mengenai penggunaan dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13, pengundian awal, pengundi luar kawasan dan penukaran kawasan pendaftaran, pembersihan daftar pemilih, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Mengenai kebimbangan pembangkang yang cadangan itu mungkin tidak digunapakai SPR, Ongkili berkata masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap badan pengendali pilihan raya itu kerana laporan PSC belum dibentangkan di Parlimen dan SPR juga belum melihat kandungan cadangan berkenaan.
"Antara cadangannya ialah untuk memperkuatkan SPR. Saya tidak fikir, kita perlu menilainya sebelum mereka melihat (cadangan) itu," katanya.
- Bernama

