Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Rang Undang-undang Pekerja Sosial yang digubal bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan sosial di negara ini dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Beliau berkata kementerian masih meneruskan perbincangan dengan pihak yang berkepentingan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mendapatkan maklumat balas bagi menambah baik draf rang undang-undang itu.

Sesi perbincangan seterusnya akan dijalankan di zon utara, selatan dan pantai timur pada April sehingga Mei ini untuk mendapatkan draf akhir sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bicara Penggubalan Akta Pekerja Sosial di Putrajaya hari ini.

Shahrizat berkata senario masalah sosial yang semakin kompleks ketika ini menyebabkan negara memerlukan tenaga kerja profesional yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang itu yang mampu dicapai melalui penggubalan akta seperti itu.

Menerusi undang-undang berkenaan, Shahrizat berharap tugas sebagai pekerja sosial menjadi satu kerjaya yang menjamin masa depan sama seperti pekerjaan yang lain.

Setakat ini beberapa universiti tempatan menawarkan pendidikan pekerja sosial sebagai satu bidang pengajian bagi meningkatkan tahap profesionalisme pekerja sosial, katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Bersama Pendidikan Kerja Sosial Kebangsaan, Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Dr Azlinda Azman berkata pihaknya sedang menambah baik kurikulum sedia ada di IPTA supaya kandungan kursus diseragamkan di semua universiti untuk melahirkan pekerja sosial yang cekap.

"Jika tidak cekap, ia boleh mendatangkan risiko kepada pelanggan kita iaitu warga emas, orang kelainan upaya dan kanak-kanak," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Pendidikan dan Latihan Kerja Sosial di Malaysia."

Presiden Persatuan Pekerja Sosial Malaysia Teoh Ai Hua berkata antara kekangan dihadapi dalam bidang ini adalah pengambilan pekerja yang tiada kelayakan, kekurangan insentif kewangan, beban kerja yang berat serta tidak wujud sistem sokongan untuk pekerjaan ini.

"Ini menyebabkan kita sukar untuk mengekalkan pekerja kerana mereka bertukar kerja selepas diberi latihan kerana menganggap ia tiada jaminan masa depan," katanya semasa membentangkan kertas kerja bertajuk "Peningkatan Kualiti Perkhidmatan Sosial Melalui Pemantapan Kompetensi Pekerja Sosial."

- Bernama