Polis: Telefon bimbit punca pergaduhan di Pusat PKLN Dungun
Polis daerah Dungun hari ini mengesahkan berlakunya pergaduhan di pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dungun tetapi berkata ianya merupakan satu pergaduhan kecil akibat salahfaham di kalangan peserta.
Polis daerah Dungun hari ini mengesahkan berlakunya pergaduhan di pusat Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dungun tetapi berkata ianya merupakan satu pergaduhan kecil akibat salahfaham di kalangan peserta.
Menurut laporan Bernama , Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Abdul Ghafar Rejab berkata polis telah menyoalsiasat enam peserta PLKN di situ berikutan kejadian berkenaan.
Selepas siasatan, katanya, polis mendapati tiada pergaduhan serius berlaku tetapi sebaliknya hanyalah satu kes salah faham di antara peserta yang kehilangan telefon bimbit.
"Kes itu telah selesai apabila seramai enam peserta yang disoal siasat telah memberitahu kejadian sebenar dan saya rasa tidak perlu ada pihak yang cuba mengeruhkan keadaan ataupun campurtangan dalam perkara itu," katanya.
Malaysiakini
melaporkan semalam bahawa berlaku pergaduhan di kalangan peserta PLKN di UiTM Dungun dan enam orang telah ditahan polis berhubung perkara itu.Manakala sebuah akhbar turut melaporkan hari ini dakwaan dua peserta PLKN di situ bahawa mereka telah dibelasah sekumpulan 15 orang kerana dituduh mencuri telefon bimbit.
Tindakan pantas
"Kita sedar ada di antara ibu bapa yang mampu memberikan telefon bimbit kepada anak-anak mereka, tetapi sepatutnya mereka tidak dibenarkan membawanya semasa mengikuti latihan kerana pelbagai perkara boleh terjadi," kata Abdul Ghafar.
Beliau berkata pihaknya telah mengambil tindakan pantas dan berjaya mengumpulkan kesemua peserta PLKN terbabit dan diberikan nasihat dan penerangan.
Beliau juga telah mengarahkan anggota kereta peronda polis supaya meronda di kawasan itu lima kali sehari dan para peserta yang merasakan dirinya diganggu, boleh melaporkan kepada mereka.
Sementara itu, di Bandar Seri Iskandar di Perak, polis turut menyoalsiasat beberapa peserta PLKN di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di situ berikutan satu pergaduhan awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Asari Mokhtar berkata tiada peserta bagaimanapun ditahan setakat ini. Polis juga tidak menemui sebarang senjata yang digunakan dalam pergaduhan itu yang menyebabkan tiga peserta cedera ringan, katanya.
Katanya, pergaduhan itu sebenarnya berpunca daripada satu pertelingkahan kecil membabitkan dua peserta, yang menyebabkan seorang daripada mereka menelefon bapanya.
Laporan polis
"Bapa peserta itu datang pada malam Selasa dan berjumpa komanden kem itu. Tetapi selepas dia balik, lebih kurang 10 peserta lain yang tidak berpuas hati menyerang anaknya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Asari berkata bapa peserta berkenaan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di Parit pagi semalam.
Hampir 1,500 peserta melaporkan diri di kem itu pada 22 Mac lepas dan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di kampus itu, katanya.
"Memang ada sedikit kelemahan dari segi logistik tetapi ini memang dijangkakan kerana PLKN baru pertama kali dilaksanakan. Lagipun, bagi kebanyakan peserta, ini merupakan kali pertama mereka berkumpul dalam kumpulan yang ramai," jelas beliau.
Sementara itu, polis sedang mengesan seorang remaja berusia 20-an yang dipercayai teman lelaki kepada peserta perempuan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Universiti Sains Malaysia (USM) yang ditahan Isnin lalu kerana memiliki dua tiub syabu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Othman Talib berkata peserta perempuan itu mendakwa syabu yang disembunyikan di dalam beg yang dipinjam daripada teman lelakinya itu bukanlah miliknya, sebaliknya kepunyaan teman lelakinya.
Dadah
Peserta itu mendakwa bahawa dia tidak mengetahui mengenai syabu yang tersimpan di dalam beg terbabit, katanya.
Beliau berkata peserta berumur 17 tahun itu mendakwa dia meminjam beg berkenaan daripada teman lelakinya ketika pulang ke kampung baru-baru ini dan tidak mengetahui mengenai dadah yang tersimpan dalam beg itu.
Isnin lepas, polis menahan peserta itu selepas jurulatih program yang menjalankan pemeriksaan mengejut di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada pukul 12.55 pagi menemui dua tiub syabu seberat 0.2 gram di dalam begnya.
Peserta terbabit disiasat mengikut Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibebaskan selepas keterangannya diambil.
Peserta itu adalah daripada kumpulan pertama seramai 680 orang yang mengikuti sesi kedua PLKN di USM bermula 23 Mac hingga 2 Mei ini.
Manakala Naib Canselornya, Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata USM tidak akan bertanggungjawab ke atas kejadian itu kerana pihaknya hanya menyediakan tempat kediaman dan kemudahan lain untuk pelaksanaan program itu.
Katanya, peserta-peserta PLKN hanyalah ditumpangkan di kampus itu dan sebarang masalah disiplin atau kejadian yang mengganggu kelancaran program itu adalah di bawah bidang kuasa agensi yang terlibat.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.