Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mengagihkan dividen berjumlah RM2.25 juta kepada kira-kira 200 pekebun kecil di bawah program Tanam Semula Komersial (TSK) Masjid Tanah.

    

Pengagihan dividen pulangan hasil kelapa sawit bagi 2011 itu melibatkan pekebun kecil dari tiga TSK iaitu TSK Paya Belantai, TSK Gaung Tinggi Satu dan TSK Gaung Tinggi Dua.

    

Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata pemberian dividen itu sebagai penghargaan kepada pekebun kecil atas kepercayaan mereka membenarkan Risda Plantation Sdn Bhd (RPSB) menguruskan ladang mereka.

"Memandangkan harga komoditi tanaman itu semakin baik, jadi, dividen yang diagihkan kepada pekebun kecil juga tinggi tanpa memerlukan mereka turun ke ladang masing-masing bagi tujuan pemantauan atau melakukan proses pembajaan," katanya kepada pemberita ketika berucap pada majlis pengagihan dividen itu di TSK Gaung Tinggi Satu di Alor Gajah hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Risda Negeri Awiskarni Zulkarnaini.

    

Beliau berkata segala urusan pemantauan, penjagaan pokok dan membaja diurus sepenuhnya oleh RPSB dan pemilik kebun hanya menikmati pulangannya tanpa perlu berpenat-lelah menguruskan ladang kelapa sawit atau getah.

    

Namun, katanya pekebun kecil disaran untuk mempelajari teknik dan kaedah bagi meningkatkan hasil tanaman dalam usaha mencapai hasil pengeluaran 2,000 kg sehektar setahun bagi tanaman getah dan 20 tan metrik sehektar setahun bagi kelapa sawit menjelang 2020.

    

Justeru pekebun kecil perlu mengaplikasikan Amalan Pertanian Baik (GAP) yang menjadi faktor terpenting dalam memastikan tanaman getah dan kelapa sawit mencapai tempoh keremajaan dan menghasilkan pengeluaran yang memberansangkan seperti ditetapkan RISDA.

- Bernama