Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah menguatkuasakan penggunaan lesen anjing dan rumah pembiakan anjing di sekitar bandar raya ini mulai 1 April lalu bagi mengatasi masalah anjing liar yang semakin berleluasa.
Datuk Bandar MBAS, Datuk Mat Noh Ahmad berkata masalah anjing liar menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penduduk kerana menganggu ketenteraman awam dan mencemarkan suasana sekitar.
Sehubungan itu MBAS telah menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing yang diwartakan 18 Ogos tahun lalu, katanya dalam satu kenyataan.
"Undang-undang ini adalah sebagai langkah kawalan aktiviti pemeliharaan anjing, kawalan penyakit berjangkit, penganiayaan dan gangguan haiwan itu di kawasan MBAS," katanya.
Di bawah undang-undang kecil itu, pemelihara anjing yang tidak mempunyai lesen boleh dikenakan kompaun tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Permohonan lesen boleh dilakukan dengan menghubungi Bahagian Kesihatan Awam MBAS di talian 04-7300813 sambungan 848.
- Bernama
