Menteri hal ehwal agama, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tampil menyokong pendedahan video oleh bekas exco hal ehwal agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali yang mendakwa kewujudan gerakan mengkristiankan orang Islam.

Akhbar Utusan Malaysia memetik Jamil sebagai berkata video berkenaan "bukan satu lakonan dan sengaja dibuat-buat."

Katanya lagi, gerakan memurtadkan penganut Islam itu juga merupakan satu "kebenaran" dan "tidak patut berlaku dalam kalangan umat Islam."

"Kerajaan akan segera mengambil tindakan berhubung pendedahan terbabit selain terus bekerjasama dengan jabatan Islam di peringkat negeri untuk melakukan penguatkuasaan termasuk pemantauan lebih rapi," katanya.

Dakwaan mengenai kewujudan gerakan memurtadkan umat Islam seperti ditimbulkan oleh saksi dalam video yang didedahkan Hasan itu juga disahkan pengarah ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Othman Mustapha, lapor akhbar Berita Harian .

Othman dilaporkan sebagai berkata, gerakan berkenaan didalangi NGO tertentu dan juga berselindung di belakang kegiatan kebajikan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa agama sukar mengambil tindakan ke atas NGO berkenaan kerana sukar mendapatkan bukti.

Dakwaan itu juga tidak dilapor secara rasmi oleh pihak terbabit, katanya.

Tambahnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia akan bertemu Hasan untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai video yang didedahkan itu.