Mustafa sifatkan Awang Adek seperti tidak faham politik'
Naib presiden PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan kenyataan bendahari Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menjemput wakil rakyat PAS menyertai Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan pembaharuan dilakukan di Kelantan, sebagai "orang baru yang tidak faham berpolitik".
Naib presiden PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan kenyataan bendahari Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin menjemput wakil rakyat PAS menyertai Barisan Nasional (BN) bagi membolehkan pembaharuan dilakukan di Kelantan, sebagai "orang baru yang tidak faham berpolitik".
Sekiranya BN menerima masuk sekurang-kurangnya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS, bermakna ia akan membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah.
Bernama
Sebaliknya, kata beliau, PAS Kelantan yang sepatutnya mempelawa wakil rakyat BN menyertai parti itu kerana PAS merupakan pemerintah di Kelantan.
"Kenyataan beliau (Awang Adek) bodoh. Beliau tidak tahu politik dan tidak faham politik," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.
Mustafa menegaskan demikian ketika mengulas pelawaan Dr Awang Adek kepada Adun PAS secara sukarela menyertai BN bagi membolehkan sebuah kerajaan baru yang "lebih berwibawa" dibentuk di Kelantan.
Pengorbanan
Ketika membuat pelawaan itu semalam, Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Luar Bandar dan Wilayah berkata, ia adalah pengorbanan besar Adun PAS bagi membolehkan BN menunaikan janjinya, termasuk membina Universiti Kelantan dan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan untuk rakyat negeri itu.
Dalam pilihanraya umum yang baru lalu, BN Kelantan berjaya merampas 21 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan daripada 14 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Walaupun gagal merampas pemerintahan kerajaan negeri, BN berjaya menafikan PAS majoriti dua pertiga kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). PAS memenangi 24 kerusi DUN dan enam kerusi Parlimen berbanding 41 DUN dan 10 parlimen pada 1999.
Ditanya mengenai kemungkinan adanya wakil rakyat PAS Kelantan yang akan menyertai BN, Mustafa bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
"Saya akan jawab kemudian bila dia (Dr Awang Adek) respon kepada kenyataan saya," katanya.

