DAP: Perlantikan pembantu Exco di Selangor tidak sah
Perlantikan pembantu Exco negeri di Selangor yang diumumkan baru-baru ini perlu dibatalkan segera kerana ia tidak sah dari segi undang-undang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Sungai Pinang, Teng Chang Khim.
Perlantikan pembantu Exco negeri di Selangor yang diumumkan baru-baru ini perlu dibatalkan segera kerana ia tidak sah dari segi undang-undang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP dari Sungai Pinang, Teng Chang Khim.
Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo bertindak di luar bidangkuasanya kerana jawatan tersebut tidak wujud dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 atau dalam mana-mana senarai perjawatan negeri.
Oleh itu, perlantikan jawatan pembantu Exco negeri Selangor itu tidak mempunyai asas undang-undang, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Dr Mohd Khir mengumumkan pelantikan 11 orang pembantu Exco bagi meringankan beban tugas Exco, terutama dalam mendapatkan maklumat terperinci di peringkat akar umbi berhubung sesuatu permasalahan.
Menurut Menteri Besar lagi, pembantu Exco yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat itu akan menerima elaun khas dan diberikan pejabat berhampiran pejabat Exco tetapi akan berkongsi kakitangan sokongan.
Elaun tambahan
Antara pembantu Exco yang dilantik itu ialah Datuk Ismail Kijo, Datuk Mad Aris Mad Yusuf, Yong Dai Ying dan Kamalam Annasamy, Mohd. Shamsudin Lias, Datuk Liew Yuen Keong, Prof Dr Amran Kasimin, Norliza Ahmad, Datuk Ahmad Kuris Mohd. Nor dan Datuk Lee Hwa Beng.
Menurut laporan akhbar, setiap pembantu Exco itu akan dibayar elaun tambahan RM1,000 sebulan, kemudahan pejabat, kerani dan peruntukan bagi tujuan penyelidikan.
Menurut Teng lagi, sidang Bajet 2004 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang pada penggal akhir tahun lalu, juga tidak meluluskan sebarang peruntukan dan kemudahan pembantu Exco sebagai diumumkan oleh Menteri Besar.
"Sebarang peruntukan untuk pembayaran elaun dan kemudahan pembantu Exco adalah bercanggah dan di luar bidangkuasa peruntukan Enakmen Perbekalan 2004 bagi Negeri Selangor.
Oleh itu, katanya, tindakan Menteri Besar Selangor itu adalah tidak sah dari segi undang-undang.
"Oleh yang demikian, saya meminta agar Menteri Besar mengambil tindakan segera supaya perlantikan pembantu Exco negeri Selangor yang diumumkan itu, dibatalkan dengan segera," tambahnya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.