Pengerusi Felcra Berhad Datuk Hamzah Zainuddin hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh supaya membayar tunggakan mutaah berjumlah lebih RM11 juta kepada bekas isterinya.

Bernama

melaporkan, mahkamah juga memerintahkan Hamzah yang juga ketua penaja Umno Bahagian Ipoh, membuat pembayaran tersebut dalam tempoh sebulan.

Hakim Hassan Basri berkata, bekas isteri Hamzah, Nooraini Abdul Rashid, 46, berhak menuntut tunggakan mutaah kerana sepanjang perkahwinan mereka, beliau tidak pernah mengaibkan nama bekas suami serta sentiasa menjaga kehormatan dan keselamatan anak-anaknya.

Mutaah, tegasnya, juga wajib dibayar oleh bekas suami kepada bekas isteri yang taat dan tidak pernah dilaporkan nusyus oleh mana-mana mahkamah syariah.

Menurutnya, isteri itu juga berhak menerima tuntutan mutaah, hibbah serta harta sepencarian sepanjang perkongsian hidupnya dengan bekas suaminya.

Kes perbicaraan tersebut bermula pada 1996. Hamzah diwakili peguamnya Zulkefli Ulul Aziz, manakala Nooraini diwakili oleh peguamnya Asmawi Alwi.

Harta sepencarian

Dalam penghakimannya, Hassan memerintahkan Hamzah, 47, membayar tuntutan mutaah berjumlah RM810,000 iaitu nafkah diri RM2,000 sebulan, pakaian dan hiasan diri (RM1,500 sebulan) dan upah menjaga anak (RM1,000 sebulan) bagi tempoh 15 tahun perkahwinan mereka.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tuntutan nilai gaji plaintif dan kenaikan tahunan setelah meletak jawatan dalam masa perkahwinan adalah layak dituntut selama 22 tahun iaitu (nilai gaji RM1,450.25 sebulan termasuk kenaikan elaun RM50) yang berjumlah RM396,066.

Hassan turut mengisytiharkan 63,192,858 unit saham yang dimiliki Hamzah dalam tiga syarikat sebagai harta sepencarian dengan bekas isterinya.

Sehubungan itu, mahkamah memberi pilihan kepada Hamzah sama ada memindahkan satu pertiga daripada jumlah saham tersebut atau membayar RM10 juta kepada bekas isterinya,

Mahkamah juga memutuskan harta-harta dalam tuntutan balas defendan adalah layak dikekalkan dalam milik plaintif keseluruhannya sebagai hibah.

Harta-harta tersebut ialah dua buah kereta jenis BMW dan Honda Civic dan sebuah rumah di Subang Jaya.

Hamzah ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah berkaitan tunggakan gaji dan saham.