Pergerakan Pemuda Umno meminta supaya prinsip dan kriteria bagi pemilihan calon kali ini bukan berdasarkan kepada kuota parti komponen tetapi daripada segi calon boleh menang, kata ketuanya Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata pergerakan itu memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga pengerusi BN, berpegang kepada prinsip bahawa calon yang akan dipilih bagi pilihan raya umum akan datang adalah calon yang diiktiraf sebagai calon boleh menang.

NONE "Jika calon itu datang daripada parti yang biasa bertanding di kawasan itu, adalah baik, (tetapi) jika calon itu datang daripada parti yang lain, kita minta parti yang biasa bertanding di situ beri laluan kepada calon berkenaan kerana calon itu juga datang daripada BN walaupun parti komponen, semua bertanding di bawah lambang BN," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno di Kuala Lumpur Rabu.

Khairy turut meminta parti komponen BN dapat bersetuju dengan prinsip itu kerana yang penting adalah kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke-13 dan bukan untuk meneruskan kuota atau sistem lama.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata siri pelancaran jentera Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno serta parti-parti komponen dengan tema "BN Pilihan Orang Muda" akan bermula pada Sabtu ini di Ipoh bagi peringkat negeri Perak yang akan dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

- Bernama