Penyertaan artis dan selebriti dalam Umno membuktikan bahawa mereka mempunyai kesedaran politik dan mahu mempertahan apa yang mereka nikmati sekarang, kata Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin.

Beliau berkata secara tidak langsung ia juga menterjemahkan rasa terima kasih mereka kepada kerajaan yang selama ini membela nasib mereka menerusi Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

"Sememangnya, apabila ada antara kumpulan selebriti yang menyertai Umno, ia membuktikan bahawa mereka memahami perjuangan Umno dan mereka juga merasai dan menikmati hasilnya.

"Sebagai membalas budi kerajaan yang banyak membantu mereka menerusi filem dan persembahan, maka mereka mengambil keputusan untuk menyertai Umno dan mereka mahu mempertahankan apa yang mereka nikmati sekarang," katanya kepada Bernama di sini pada Khamis.

- Bernama