Sosilawati: Sebutan semula kes keterangan palsu 17 Mei
Mahkamah Sesyen di Shah Alam Khamis menetapkan 17 Mei ini untuk sebutan semula kes pekerja ladang, U Suresh yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di Shah Alam.
Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Salwa Asmary Abdul Rahim.
Salwa Asmary memohon agar kes ditangguh ke tarikh lain sementara menunggu keputusan perbicaraan kes bunuh itu yang ditetapkan pada 30 April ini.
Suresh, 28, dan seorang lagi pekerja ladang, K Sarawanan, 21, kini menjalani hukuman penjara 20 tahun di Penjara Sungai Udang, Melaka kerana kesalahan melupuskan bukti dalam kes pembunuhan itu.
Pada 10 Ogos tahun lepas, Suresh mengaku tidak bersalah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N Pathmanabhan, T Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir sedangkan keterangan yang dia berikan kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.
- Bernama

