M'sia kecam pelancaran roket Korea Utara
Malaysia mengecam dengan kerasnya tindakan rejim Korea Utara kerana melancarkan roket walaupun masyarakat antarabangsa telah menyatakan kebimbangan ke atas tindakan tersebut yang mungkin melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata tindakan rejim Korea Utara itu amat dikesali dan tidak boleh diterima.
"Ia mungkin menyulitkan usaha semasa bagi mencari penyelesaian dalam meredakan ketegangan di Sememanjung Korea.
"Kami amat bimbang sekali dengan perkembangan terbaharu itu kerana ia mungkin mengancam kestabilan serantau," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra di Kuala Lumpur semalam.
Anifah berharap semua pihak di Semenanjung Korea akan bersabar dan tidak mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi situasi di rantau itu.
Menurut laporan media, roket yang dilihat oleh ramai sebagai ujian peluru berpandu balistik dilancarkan di barat laut Korea Utara semalam.
Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan berkata roket itu terbang untuk waktu singkat sebelum berpecah dan terhempas di perairan di luar Semenanjung Korea.
- Bernama

