Syabas aktifkan kod merah di enam kawasan
Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) telah mengaktifkan pelan tindakan kecemasan (ERP) kod merah di enam kawasan di Lembah Klang iaitu Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Selangor dan Sabak Bernam sejak 4 petang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Syabas Datuk Ruslan Hassan berkata langkah itu diambil bagi mengurangkan pengeluaran air terawat ekoran kerosakan pada alat boleh ubah yang membekalkan tenaga elektrik ke Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Selangor Fasa 2 (SSP2).
LRA SSP2 membekalkan 950 juta liter air bersih sehari kepada 290,529 akaun pengguna dan kini terpaksa dikurangkan ke 320 juta liter, katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
"Syabas menjangka gangguan bekalan air tidak berjadual bakal berlaku di kawasan-kawasan berkenaan jika pengurangan pengeluaran LRA itu berpanjangan," katanya.
Pada masa ini, Puncak Niaga selaku operator LRA SSP2 masih belum dapat memastikan bila loji itu akan beroperasi semula namun melakukan pemantauan secara berterusan.
Ruslan berkata Syabas menempatkan 42 lori tangki dan 230 tangki statik dalam keadaan tunggu sedia untuk dihantar ke kawasan-kawasan kritikal mengikut keutamaan tetapi bantuan bekalan air itu tidak mampu menampung keperluan semua pengguna yang terlibat.
"Jika gangguan bekalan air dengan skala besar itu berterusan melebihi lapan jam, Syabas akan memaklumkan perkara tersebut kepada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor agar bersiap sedia untuk tindakan kecemasan," katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna di kawasan terlibat agar menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan itu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) menerusi talian bebas tol yang beroperasi 24 jam di talian 1-800-88-5252 atau SMS ke 39222 atau membuat aduan di laman Facebook atau Twitter Syabas.
- Bernama

