Bantah Lynas: 200 berhimpun di Shah Alam
Perhimpunan bantah Lynas di Bantah Lynas: 200 berhimpun di Shah Alam
Seramai kira-kira 200 orang berhimpun di Dataran Shah Alam, Selangor dalam bantahan ke atas loji memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (Lamp) di Gebeng, Kuantan.
Kumpulan itu mula berkumpul bermula jam 2.20 petang semalam selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan mula berucap dan melaungkan slogan.
Perhimpunan di Shah Alam itu merupakan antara beberapa demonstrasi yang diadakan serentak seluruh negara anjuran Solidariti Hijau SeMalaysia yang dianggotai 23 NGO.
MP Shah Alam dalam ucapannya di perhimpunan itu antara lainnya menyeru masyarakat yang hadir supaya menolak kerajaan yang tidak mahu mempertahankan negara daripada sisa berbahaya daripada Lynas.
Turut hadir dalam perhimpunan itu ialah koordinator Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim, ADUN Hulu Kelang Saari Sungib, serta pengerusi lajnah alam sekitar PAS, Zulkifli Mohd Omar.
Peserta yang bersorak dan melaungkan slogan itu diawasi seramai kira-kira 30 orang anggota polis dan juga 10 orang penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam.
Perhimpunan itu berakhir dengan aman sekitar jam 3 petang.

